PKP menyeluruh elak peningkatan mendadak kes baharu Covid-19 – PM

0
2

KEPUTUSAN melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh ketika ini telah berjaya mengelak berlakunya peningkatan kes-kes baharu Covid-19 secara lebih mendadak.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Kementerian Kesihatan (KKM) telah membuat unjuran sekiranya PKP tidak dilaksanakan, kes harian Covid-19 di negara ini mencecah lebih 13,000 hari ini dan seluruh sistem kesihatan akan runtuh.

“Namun Alhamdullilah, dengan pelaksanaan PKP Fasa Pertama ini kita dapat menyaksikan graf jangkitan kes Covid-19 telah mula menunjukkan trend melandai dengan mencatatkan 4,949 kes semalam berbanding 9,020 kes pada 29 Mei, iaitu kes harian tertinggi yang dicatatkan di negara kita.

“Sistem kesihatan negara kita juga masih mampu menampung kes-kes baharu di samping mencatatkan jumlah pesakit sembuh yang tinggi.

“Ini menunjukkan tindakan yang diambil oleh kerajaan telah membuahkan hasil,” katanya dalam sidang media Pelan Pemulihan Negara: Peralihan Fasa PKP Secara Berperingkat hari ini.

Muhyiddin berkata keputusan melaksanakan PKP ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana dari segi ekonomi, negara kehilangan RM1 bilion sehari.

“Saya telah umumkan pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kewangan PEMERKASA Plus bernilai RM40 bilion dengan suntikan fiskal sebanyak RM5 bilion.

“Saya berharap bantuan kerajaan ini dapat meringankan beban ditanggung oleh individu dan perniagaan yang terkesan.

“Namun, kita tidak boleh berterusan begini. Demi kesihatan dan kelangsungan hidup kita semua, kita perlu segera keluar daripada krisis ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here