‘Selamatkan PKS daripada gulung tikar’ – PKR

0
2
Sulasiya Mardi, 58, di Mansian Tea Stall Jalan Masjid India Peniaga nasi lemak

PKR mempersoal tindakan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam usaha menyelamatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ketika negara menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau ‘lockdown’.

Ketua Penerangannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata laporan akhbar mengenai amaran yang dikeluarkan oleh SME Association of Malaysia bahawa 50,000 PKS bakal gulung tikar adalah satu lagi manifestasi kegagalan kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Perkembangan ini nyata membimbangkan apatah lagi setelah mengambil kira laporan bahawa 100,000 PKS sudah menghentikan operasi sejak PKP tahun lalu.

“PKS adalah sektor yang menyumbang hampir 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 50 peratus dari jumlah pekerjaan dalam negara juga adalah dari sektor PKS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas mengenainya, Shamsul Iskandar berkata, apakah MITI tidak sedar tentang kepentingan sektor SME kepada ekonomi dan pekerjaan negara.

“Kegagalan MITI menyediakan strategi bagi mengharungi krisis ekonomi dampak pandemik Covid-19 ini adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan.

“Dengan mengambil kira kepentingan PKS kepada ekonomi terutama dalam memastikan sumbangan berterusan mereka di fasa pemulihan pasca-pandemik Covid-19, saya menggesa menteri bertanggungjawab mengambil tindakan segera,” ujarnya.

Justeru, Shamsul Iskandar berkata, PKR mencadangkan kepada MITI agar memperkenalkan skim subsidi gaji untuk pekerja dalam sektor PKS bagi memastikan kehidupan mereka tidak terjejas.

“Mewartakan moratorium automatik ke atas pinjaman bank bagi syarikat-syarikat di bawah sektor SME dan;

“Menyediakan dan memaklumkan segera pelan pemulihan bagi syarikat-syarikat dalam sektor SME yang terjejas,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here