Fitri Nizam
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengusir sebuah bot nelayan asing yang cuba menceroboh masuk perairan negara berhampiran Pulau Perak, semalam.
Markas Wilayah Laut 3 dalam satu kenyataan berkata, bot nelayan dinaiki tiga awak-awak dan seorang tekong warga asing.
Bot nelayan itu dikesan cuba menceroboh perairan negara di Sempadan Malaysia-Thailand 33 batu nautika dari barat laut Pulau Perak.
“Kapal TLDM, KD Mahawangsa telah mengusir bot nelayan asing berkenaan dari menceroboh masuk ke perairan negara.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat empat krew warganegara asing termasuk tekong, tiada sebarang barangan terlarang ditemui,” katanya.
TLDM juga memaklumkan, asetnya ditugaskan bagi membuat rondaan di kawasan sempadan perairan negara.
“Masyarakat tidak perlu bimbang kerana barisan hadapan ATM (Angkatan Tentera Malaysia) amnya dan TLDM khususnya sentiasa melaksanakan tugas dan berada di dalam tahap kesiagaan tertinggi bagi membendung kemasukan pendatang asing ke perairan Malaysia.
“TLDM akan terus berjuang demi memastikan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara,” katanya.

