Vaksin tak ubah saya jadi ‘Wolverine’ – Najib Razak

0
2
Pix via Malaysiapost

DATUK Seri Najib Razak, menegaskan dua perkara utama perlu ditingkatkan ketika ini iaitu pendaftaran penerimaan vaksin oleh rakyat dan kadar vaksinasi oleh kerajaan.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, negara sudah kesuntukan masa dan berada di tahap yang amat kritikal dalam menghadapi pandemik Covid-19.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, jika dua perkara itu tidak dipertingkatkan maka akan sentiasa ada jangkitan dan kluster baharu Covid-19 setiap hari.

“Saya ingin memberi sedikit pandangan mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang setakat ini saya melihat angka vaksinasi negara kurang memuaskan, terutama jumlah yang mendaftar untuk vaksinasi hanya sekitar 13 juta orang sahaja sedangkan seluruh Malaysia terdapat lebih 30 juta penduduk.

“Ini bermakna 17 juta penduduk belum mendaftarkan diri untuk menerima vaksin atau sekurang-kurangnya 8 juta orang lagi bagi mencapai apa yang dikatakan imuniti kelompok atau ‘herd immunity’ sekali gus mengawal pandemik Covid-19,” katanya dalam siaran langsung di Facebook hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada semua agar mendaftarkan diri untuk divaksin termasuk penduduk di Parlimen Pekan, yang bilangan mendaftar masih perlu diusaha dan ditingkatkan lagi.

“Saya sendiri bersyukur kerana berkesempatan menerima vaksin dua bulan lalu. Saya tahu ada yang sebar macam-macam berita di aplikasi WhatsApp selepas saya divaksinasi kononnya ada masalah kesihatan akibat vaksin, ada yang kata saya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana kesan sampingan vaksin.

“Tidak benar… badan saya juga tidak ada apa-apa mikro cip dan saya tidak menjelma menjadi ‘Wolverine’ atau mana-mana ‘mutant’.

“Alhamdulillah saya sihat dan menjalankan aktiviti harian seperti biasa selepas divaksin. Bekerja boleh, kemaskini Facebook boleh dan bersenam juga boleh. Guys! vaksin ini penting untuk melindungi diri,” katanya.

Najib berkata, kadar vaksinasi juga wajar ditingkatkan kerana daripada 13 juta berdaftar hanya kira-kira tiga juta sahaja yang sudah divaksinasi.

“Selagi ini tidak diperingkatkan maka akan ada jangkitan berterusan dan kluster tambahan setiap hari serta lebih ramai lagi yang akan kehilangan nyawa akibat Covid-19 dan pemulihan ekonomi juga akan terus terjejas dalam keadaan ini,” katanya.

Menurutnya, orang ramai perlu meluangkan sedikit masa bertanya khabar jiran, rakan dan saudara-mara terutama yang berada di kampung.

“Ramai yang menghadapi pelbagai cabaran sama ada dari segi pendapatan, kesihatan dan ada juga yang mengalami tekanan mental dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Jika berkesempatan tanya juga sama ada sudah berdaftar diri untuk menerima vaksin dan galakkan mereka yang belum berbuat demikian,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here