Apit kanan skuad emas 1979 meninggal dunia

0
4

SUKAN sepak takraw negara kehilangan seorang lagi legenda, Abdul Rahman Abdul Ghani yang meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras, semalam.

Allahyarham meninggal dunia pada jam 1.40 tengah hari pada usia 69 tahun akibat serangan jantung yang berpunca daripada sakit saraf belakang lama dihidapinya, lapor Bebas News.

Rahman adalah anggota skuad yang memenangi pingat emas Sukan SEA Jakarta 1979 yang bermain di posisi apit kiri killer atau perejam.

Rakan sepasukannya ialah Raja Sepak Takraw Asia 1986 – Adnan Saidin, Subari Said, Hassan Yeop, Md Nor Ali, Rahim Kassim, Shukri Ismail, Jusri Rick, Osman Ahmad, Faozi Ayob dan Baharuddin Abu Bakar dan Sahar Omar.

Di bawah bimbingan jurulatih Ahmad Daud, skuad negara menewaskan Thailand, Singapura dan tuan rumah, Indonesia 3-0 dalam saingan liga sepusingan temasya itu.

Rahman menganggotai regu utama negara ketika itu bergandingan dengan Hassan (tekong) dan Osman (apit kiri dan pengumpan) diikuti regu kedua – Subari, Rahim dan Sahar manakala Jusri, Adnan dan Shukri membentuk regu ketiga.

Allahyarham meninggalkan lima anak berusia 26 hingga 42 tahun serta 13 cucu.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Muda, Gombak, selepas zuhur hari ini.

Minggu lalu, arena sepak takraw negara kehilangan legenda era 1970-an, Sahak Md Yasin yang menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Setapak. – Malaysiapost

Foto Kredit: Info Takraw

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here