Kematian meningkat, cabaran buat Skuad Pengurusan Jenazah

0
2
Facebook Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia - (SPJM)

Nurul Huda Abhar

JUMLAH jenazah pesakit Covid-19 semakin meningkat sejak kebelakangan ini sehingga memaksa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyediakan kontena penyimpanan khas untuk menampung kepadatan bilik mayat.

Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), juga memaklumkan kini jumlah jenazah Covid-19 yang diuruskan menjangkaui lima hingga tujuh jenazah dalam sehari.

Pengerusi SPJM, Muhammad Rafieudin Zainal Rashid, 30, berkata, jika dibandingkan sebelum ini, pihak SPJM hanya akan menguruskan tiga atau empat jenazah Covid-19 dalam satu bulan.

Berkongsi berkenaan urusan pengebumian jenazah Covid-19, Muhammad Rafieudin berkata, seramai lima hingga lapan orang diperlukan untuk menguruskan satu jenazah, iaitu dari segi urusan tayamun hingga ke tanah perkuburan.

“Jenazah akan diambil di hospital dan selesai urusan tayamum, jenazah akan disolatkan terus dan terus bergerak ke tanah perkuburan.

“Lokasi bergantung kepada waris. Biasanya mereka akan minta dikuburkan di kawasan kariah di mana mereka tinggal.

“Misal kata dia tak tahu kita akan kebumikan di kawasan lain. Contoh jika di Kuala Lumpur akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Batu Cave,” katanya kepada Malaysiapost.

Menurut Muhammad Rafieudin, waris jenazah dibenarkan untuk bersama dalam menguruskan pengebumian jenazah namun perlu mengikuti semua prosedur operasi standard yang ketat termasuk memakai pakaian pelindung diri (PPE) sepanjang masa.

“Waris kami benarkan, lelaki yang sihat dan pakai PPE. Pertamanya untuk buat pengecaman dahulu, selepas itu jika mereka nak ikut naik van sekali pun boleh tapi mengenakan PPE sepanjang proses.

“Dua orang kita bagi peluang kepada waris, untuk berurusan dalam van. Van juga hanya boleh menempatkan empat orang sahaja jadi akan diberikan keutamaan kepada skuad kami,” ujarnya.

Beliau berkata, cabaran utama ketika menguruskan jenazah Covid-19 adalah ketika hendak menentukan tanah perkuburan untuk pengebumian.

Menurutnya, ini kerana setiap satu kawasan tanah perkuburan mempunyai had untuk pengebumian jenazah dalam sehari.

“Contoh satu tanah kubur ni dalam sehari untuk kes Covid-19 empat kes sahaja diambil, jadi jika dah capai kuota itu tak dapatlah kami nak kebumikan jenazah di situ. Terpaksa cari tempat lain. Jika tempat lain juga tak terima di dua kawasan kariah mereka, terpaksa tunggu esok untuk kebumikan tempat yang dinyatakan tadi.

“Cabaran lain pula dari segi uruskan waktu Penolong Pegawai Kesihatan kerana perlu ikut masa mereka,” katanya lagi.

Selain itu, Muhammad Rafieudin berkata, setiap tanah perkuburan mempunyai waktu-waktu yang dibenarkan untuk pengebumian jenazah Covid-19.

“Macam Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah benarkan kebumikan jenazah Covid-19 selepas jam 3 petang. Jadi terpaksa tunggu sehingga waktu ditetapkan barulah kami dapat uruskan kebumi jenazah,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Rafieudin juga memberitahu kini dirinya sedang menjalani proses kuarantin di Maeps, Serdang sejak Sabtu lalu selepas disahkan positif Covid-19.

Namun begitu, beliau menolak tangkapan bahawa jangkitan tersebut berpunca daripada menguruskan jenazah Covid-19, kerana telah mengikuti setiap SOP dah dipantau oleh pihak berkaitan.

Tambahnya, kesemua ahli SPJ yang bertugas bersamanya telah menjalani ujian swab dan mereka didapati negatif Covid-19.

“Saya rasa bukan berpunca daripada pengurusan jenazah kerana ahli skuad lain negatif. Lagipun kami pakai PPE lengkap setiap masa. Mungkin jangkitan ketika berjumpa dengan orang ramai,” ujarnya.

Semalam, Malaysia mencatatkan 64 lagi kematian Covid-19 sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat wabak itu adalah 3,908 kes. – Malaysiapost

Foto Kredit: FB/Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia – (SPJM)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here