Siasat kenapa vaksinasi lambat, bukan ugut dan paksa rakyat – Puad Zakarshi

0
2
Foto Kredit: Minda Rakyat

TINDAKAN Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, meminta kerajaan menetapkan tarikh tutup bagi pendaftaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilihat sebagai tidak wajar dan bersifat sebagai hukuman kepada rakyat.

Cadangan itu seperti memaksa dan mengugut rakyat yang dikatakan sambil lewa mengenai pendaftaran bagi pengambilan vaksin Covid-19.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata kerajaan sepatutnya menyiasat apa punca berlaku rakyat Malaysia perlahan mendaftar untuk vaksinasi.

“Betulkah mereka sambil lewa? Jangan buat andaian. Ketua Penerangan (Wan Saiful) kena turun ke bawah. Kenapa hanya 7.6 juta dari 26.7 juta mendaftar menerusi MySejahtera.

“Dari 7.6 juta itu, baru 1,331,262 orang terima dua dos vaksin Covid-19, manakala seramai 3,030,096 individu telah terima dos pertama. Aplikasi MySejahtera ok ke tidak. Bagaimana di kawasan pedalaman, pulau dan kampung Orang Asli?

“Kalau rakyat Malaysia sambil lewa kenapa mereka berebut rebut bila kerajaan tawarkan vaksin AstraZeneca” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Menurutnya, Wan Saiful sepatutnya menyiasat apa punca rakyat yang sudah lama mendaftar melalui MySejahtera hingga sekarang masih belum dipanggil untuk vaksinasi.

Katanya, isu mengenai perolehan vaksin yang lambat juga perlu diambil kira di mana Malaysia yang membuat tempahan pertama pada Disember 2020 namun lewat dan kurang menerima bekalan vaksin berbanding Singapura dan Indonesia.

Beliau berkata, alasan Wan Saiful jika ada tarikh tutup pendaftaran vaksin maka badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya boleh digembeling untuk kempen daftar vaksinasi.

“Kenapa mesti tunggu ada tarikh tutup? Agensi kerajaan termasuk jentera Penerangan Bersatu tidak boleh buat sekarang?

“Atau pun jentera Penerangan Bersatu memang tidak wujud di akar umbi. Tiada orang,” sindirnya.

Semalam, Wan Saiful meminta kerajaan menetapkan tarikh tutup untuk pendaftaran mendapatkan suntikan vaksin dalam PICK.

Beliau berkata, berkata langkah itu dapat memastikan mereka yang belum mendaftar, akan berasa penting untuk bersegera melakukannya.

“Bagi memastikan ada ‘sense of urgency’ (kepekaan untuk bertindak segera) dalam kalangan rakyat, sudah sampai masanya kerajaan menetapkan satu tarikh tutup untuk mendaftar. Semua rakyat mesti mendaftar sebelum tarikh itu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here