Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengiktiraf keberkesanan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh dan undang-undang bagi melindungi rakyat dalam tempoh genting ketika ini.
Antaranya Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021 serta Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (Pindaan) 2021.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata langkah tersebut terbukti mampu mengawal jangkitan Covid-19 daripada 9,020 kes pada 29 Mei 2021 kepada sekitar 6,000 kes harian ketika ini.
“Langkah itu juga berjaya mengelakkan peningkatan kes jangkitan harian yang tinggi di luar jangkaan,” kata Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri dalam satu kenyataan media hari ini.
Hamzah berkata mesyuarat secara sidang video majlis pimpinan tertinggi Bersatu dipengerusikan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin semalam turut meluluskan beberapa pindaan peraturan persidangan, peraturan Armada, peraturan Srikandi dan peraturan Bersekutu Bersatu.
“Ia selaras pindaan Perlembagaan Parti Bersatu yang telah diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.
“Bersatu yakin dan percaya bahawa pindaan-pindaan tersebut mampu memperkasakan gerak kerja parti, melicinkan urusan pentadbiran parti dan mengukuhkan akar umbi di setiap peringkat di seluruh negara,” ujarnya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

