JAWATANKUASA Siasatan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) yang menyiasat insiden pelanggaran Aliran Transit Ringan (LRT) pada 24 Mei lalu tidak pernah menyatakan bahawa tiada pihak boleh dipersalahkan di atas kejadian itu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menegaskan tiada apa yang hendak ‘disembunyikan’ seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.
“Jawatankuasa siasatan ini adalah jawatankuasa ditugaskan menjalankan siasatan, bukannya badan kehakiman. Oleh itu, jawatankuasa ini tiada kuasa untuk menentukan kesalahan ke atas mana-mana pihak.
“Sebarang tindakan dalaman/pentadbiran yang hendak diambil terhadap kakitangan yang terlibat dalam insiden ini hendaklah berlandaskan kepada terma dan syarat telah diperuntukkan dalam kontrak kerja ditandatangani mereka dengan Prasarana,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ka Siong berkata, proses perundangan sewajarnya dilaksanakan demi memastikan bahawa prinsip keadilan turut diberikan kepada mereka yang bertanggungjawab terhadap kejadian pelanggaran LRT itu.
“Ketika saya mengarahkan pembentukan jawatankuasa siasatan memeriksa secara terperinci perlanggaran LRT ini, segala rujukan dapatan jawatankuasa itu harus dijelaskan dalam mencapai misinya,” katanya.
Pada masa sama, beliau menyatakan peranan jawatankuasa itu juga adalah untuk menentukan punca menyebabkan berlakunya kejadian berkenaan dengan menganalisa datan dan fakta secara profesional.
Sementara itu, beliau berkata, seperti yang dimaklumkan dalam sidang media 10 Jun lalu, sebanyak 23 cadangan dibentang dan diterima oleh Kabinet.
Katanya, cadangan itu meliputi perubahan menyeluruh berhubung prosedur keselamatan dan operasi Rapid Rail Sdn Bhd serta Prasarana Malaysia Berhad yang akan dilaksanakan dalam jangka masa dikemukakan.– Malaysiapost
Artikel berkaitan :

![±M³XÃQ®a²» ¡]°OªÌ¡G§d¹Å¶² - Äá¼v¡GªLªl¤t¡^](https://mp.createportal.com/wp-content/uploads/2020/09/wee-ka-siong.jpg)