SIASATAN segera perlu dilaksanakan berhubung isu penggunaan nama menyentuh sensitiviti agama dipercayai dilakukan seorang individu ketika membuat pesanan makanan di Sungai Way, Petaling Jaya, semalam.
Pendakwah, Ahmad Husam Baderudin, berkata pihak berkuasa perlu bertindak segera menyelesaikan isu itu bagi menggelakkan integrasi antara kaum di negara ini terjejas.
Ahmad Husam berkata, beliau kesal kerana perkara itu masih berlaku di negara yang hidup pelbagai kaum dan agama sekali gus menuntut semua pihak menghormati antara satu sama lain.
“Perkara 3 agama Islam adalah agama Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana persekutuan.
“Perkara 3(2) Bagi negeri-negeri tidak ada raja, kedudukan raja sebagai Ketua Agama Islam dalam negerinya, tertakluk kepada perlembagaan negeri segala hak, keistimewaan, hak kedaulatan dan kuasa yg dinikmati olehnya sebagai ketua agama Islam tidaklah tersentuh.
“Perkara 3(3) Perlembagaan negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak hendaklah masing-masing membuat peruntukan bagi memberi YDPA Kedudukan Ketua Agama Islam dalam negeri,” katanya menerusi Facebook.
Justeru, beliau berkata, persoalan adakah orang Islam tidak tercabar atau berasa sensitif atau bersikap toleran terhadap penggunaan kalimah ‘Allah’ yang dipersendakan.
“Sehingga bebas untuk menggunakan ‘nickname’ dalam pesanan makanan oleh sesetengah individu yang tidak bertanggungjawab atau cuba mengeksploitasi kalimah suci umat Islam ini?,” soalnya.
Beliau berkata, pihak berkuasa perlu menyiasat serta mengambil tindakan sekiranya ia sengaja mempersendakan atau cuba menimbulkan penghinaan juga eksploitasi kalimah Allah sekali gus menimbulkan keresahan umat Islam.
“Polemik yang melanda ini sedikit sebanyak dilihat menyentuh sensitiviti atau mungkin kemarahan umat Islam yang boleh menjejaskan integrasi antara kaum jika tidak ditangani secara serius,” katanya.
Semalam, polis menahan lima penghantar makanan yang dipercayai terbabit dalam kes pukul pelanggan yang dikatakan menggunakan nama menyentuh sensitiviti agama ketika membuat pesanan di Sungai Way, Petaling Jaya.
Turut ditahan pelanggan terbabit yang berusia 29 tahun selepas dia dipukul dan dibawa ke polis oleh kumpulan penghantar makanan terbabit.
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/06/11/penghantar-makanan-pelanggan-ditangkap-isu-sensitiviti-agama/

