Guan Eng dakwa Agong setuju beri moratorium kepada B40, M40

0
3

SETIAUSAHA Agung DAP Lim Guan Eng mendakwa Yang di-Pertuan Agong bersetuju agar lebih banyak bantuan kewangan diberikan kepada rakyat.

Guan Eng berkata, perkara itu disampaikan olehnya ketika sesi menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Rabu lalu.

“(Ketika itu) saya telah membangkitkan masalah kewangan yang dihadapi oleh rakyat biasa yang memerlukan bantuan kerajaan untuk meneruskan kehidupan.

“Agong setuju dengan moratorium automatik pinjaman bank (kecuali kumpulan T20) tanpa menyebut tempoh tertentu dan lebih banyak bantuan kewangan untuk menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau menyangkal kenyataan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz bahawa kerajaan tidak boleh memaksa bank melanjutkan moratorium automatik kepada golongan B40.

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) lupa bahawa kuasa darurat boleh digunakan demi kepentingan nasional buat masa ini untuk memaksa pihak bank tanpa sebarang kos kepada kerajaan,” katanya.

Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, dalam moratorium untuk golongan B40 pada masa ini, bank hanya menangguhkan pembayaran pinjaman tanpa mengetepikan kadar faedah, menyebabkan hutang terkumpul menjadi lebih tinggi.

Pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, bank menawarkan pilihan moratorium pinjaman selama tiga bulan atau pengurangan pembayaran balik sebanyak 50 peratus selama enam bulan kepada golongan B40, mereka yang hilang pekerjaan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak dapat beroperasi semasa sekatan pergerakan penuh. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here