PARTI Warisan Sabah (Warisan) menyangkal isi kandungan kenyataan yang tular kononnya dikeluarkan bersama parti itu dan PAS untuk menyokong Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Perdana Menteri yang baharu.
Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua Jr menafikan sekeras-kerasnya kenyataan tersebut yang disifatkan sebagai fitnah dan turut memalsukan tandatangannya sebagai mewakili parti.
“Saya menyangkal sekeras-kerasnya isi kandungan kenyataan media PAS bertarikh 11 Jun 2021 tersebut.
“Saya sama sekali tidak pernah sama ada bagi pihak Warisan mahupun atas kapasiti peribadi untuk mempersetujui atau menandatangani apa-apa persetujuan muafakat bersama PAS untuk menyokong mana-mana individu sebagai Perdana Menteri.
“Warisan tidak pernah terlibat dengan kenyataan media itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Loretto berkata perbuatan seperti itu adalah tindakan orang-orang yang kemaruk kuasa sehingga sanggup memfitnah dan memalsukan tandatangannya.
“Saya akan membuat laporan polis selepas berbincang dengan peguam saya berkenaan perkara ini,” katanya lagi.
Terdahulu hari ini tular satu kenyataan media menggunakan lambang PAS yang ditandatangani bersama Loretto dan
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Kandungan kenyataan tersebut antara lain kononnya kedua-dua parti bersepakat untuk menyokong Hishammuddin sebagai Perdana Menteri bagi menyelamatkan negara daripada terus berada dalam krisis kesihatan. – Malaysiapost

