Pemimpin PAS dan Umno tolak Mageran.

0
2

PEMIMPIN PAS dan Umno menolak cadangan menubuhkan Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang diusulkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan meminta bekas Perdana Menteri itu tidak lagi campur tangan dalam urusan pentadbiran negara.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata, cadangan Dr Mahathir itu dibimbangi akan memberi kesan lebih buruk kepada ekonomi, politik, dan kestabilan berbanding darurat.

“Dia sendiri tanpa segan silu menawarkan diri untuk kembali berkhidmat. Sudah tentu sasaran utama Mahathir adalah jawatan Pengarah Mageran seperti mana yang pernah dipegang Razak Hussein satu ketika dulu.

“Yang kita bimbang ialah Mageran akan berpanjangan dan disalahgunakan. Dendam, penganiayaan politik, kembali bermaharajalela. Cukuplah, jangan ulangi kezaliman tersebut,” kata Mohd Puad dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad, pula berkata Mageran cadangan Dr Mahathir itu akan mengambil alih daripada pentadbiran yang sah.

Katanya, PAS terus mendukung kepimpinan Muhyiddin Yassin dan mandat harus diberi kepada kerajaan yang sah.

“Cadangan itu itu tidak perlu kerana kerajaan sedia ada masih bertindak atas nasihat Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Mohd Puad berkata Dr Mahathir, 95, patut lebih realistik.

“Masa beliau sudah berakhir. Dia sudah dapat peluang kedua tetapi disia-siakan. Mana mungkin dia perlu diberi peluang ketiga. Kita khuatir lebih banyak kerosakan akan berlaku,” katanya.

Bagaimanapun, Kamaruzaman berkata walaupun beliau menolak cadangan Dr Mahathir, bekas perdana menteri itu dan pemimpin lain berhak menyuarakan “isi hati” mereka. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here