Ayuh Malaysia! Harimau Malaya boleh menang.

0
2

HARIMAU Malaya tiada pilihan lain lagi selain kemenangan menentang Vietnam akan terus menyalakan api perjuangan Malaysia untuk melangkah pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.

Seri atau kalah dalam perlawanan yang bakal berlangsung di Stadium Al Maktoum, Dubai, malam ini, akan meranapkan impian Malaysia sekali gus mengucapkan sayonara kepada kedua-dua kejohanan itu.

Anak buah Tan Cheng Hoe dituntut berjuang bermati-matian dalam misi hidup mati untuk mengalahkan Vietnam yang dibimbing oleh jurulatih dari Korea Selatan Park Hang Seo.

Kekalahan dibelasah 4-0 oleh Emiriyah Arab Bersatu (UEA) minggu lalu harus dilupakan segera oleh Aidil Zafuan dan rakan-rakannya.

Pastinya percaturan Cheng Hoe sekali lagi menjadi tumpuan peminat bolasepak negara malam ini dalam membentuk gandingan ampuh barisan Harimau Malaya yang terdiri daripada beberapa pemain neutralisasi.

Apa yang penting, kemenangan pasti tercipta jika Harimau Malaya memberi fokus, bekerja keras dan bermain dengan semangat juang yang tinggi serta tiada pemain beraksi longlai dan menjadi penumpang dalam pasukan.

Vietnam yang mencatatkan kemenangan selesa 4-0 ke atas Indonesia baru-baru ini terpaksa membayar harga mahal susulan kehilangan khidmat pemain tengah berpengaruh mereka, Nguyen Quang Hai.

Quang Hai digantung satu perlawanan dan tidak akan turun menentang Malaysia akibat menjalani pergantungan dua kad kuning.

Ketiadaan pemain berpengaruh itu perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh Aidil Zafuan dan rakan-rakannya bagi memastikan kemenangan berpihak kepada skuad Harimau Malaya.

Berdasarkan kedudukan semasa, Malaysia memerlukan dua kemenangan untuk menghidupkan peluang ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022 dan memburu slot automatik ke Piala Asia 2023.

Ayuh Malaysia, di atas kertas Vietnam menjadi pilihan untuk menang, namun tiada yang mustahil untuk kita mengalahkan mereka. Mereka ada kaki, kita pun ada kaki. Jangan gentar, lawan hingga ke titisan keringat terakhir. Malaysia boleh! – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here