KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) dalam proses mewujudkan pusat panggilan untuk membantu melancarkan urusan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) yang ketika ini menghadapi kekangan talian telefon.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata peningkatan jumlah kes Covid-19 yang mendadak sejak April lalu menyebabkan beban tugas anggota di CAC bertambah.
Menurutnya, terdapat peningkatan 150 peratus daripada jumlah kedatangan pesakit ke CAC, iaitu dari 4,000 sehari ke 10,000 sehari pada 5 Jun 2021.
Beliau berkata, jumlah kes aktif dalam pemantauan CAC juga meningkat 108 peratus dari 5,300 sehari ke 11,000 sehari, selain peningkatan kes yang memerlukan rujukan ke hospital bagi tempoh 23 Mei hingga 5 Jun lalu iaitu dari sembilan kepada 35 kes.
“Peningkatan beban kerja dalam tempoh singkat menyebabkan kekangan talian telefon bagi menerima panggilan dari pesakit, serta petugas untuk membuat dan menerima panggilan.
“Ini menyebabkan berlaku kejadian panggilan ke CAC tidak berjawab. Situasi ini menyebabkan kegelisahan kepada pesakit yang sedang menjalani pemantauan di rumah mengenai status kesihatan semasa.
“Khususnya apabila mereka melaporkan wujudnya gejala baru atau kemerosotan gejala dalam sistem MySejahtera tetapi masih belum diambil tindakan oleh CAC,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, bagi menambahbaik proses pemantauan oleh CAC, KKM dalam proses mewujudkan pusat panggilan berkenaan untuk menerima panggilan pesakit bergejala untuk disalurkan ke CAC berkaitan; panggilan berkaitan pertanyaan umum kuarantin di rumah dan kecemasan.
“Sebagai permulaan, ia akan dilaksanakan di Selangor serta Kuala Lumpur dan Putrajaya yang mempunyai beban kes tinggi.
“Selain itu, KKM akan menambah talian telefon di 33 CAC di tiga negeri tersebut bagi mengurangkan kesesakan talian telefon,” katanya. – Malaysiapost

