Kerajaan rangka rancangan baharu untuk Putrajaya

0
3

PERANCANGAN dan idea baharu untuk 25 tahun akan datang penting dalam mengekalkan Putrajaya sebagai bandar yang dinamik, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, kerajaan kini sedang merangka beberapa rancangan, termasuk menghidupkan Putrajaya selepas waktu pejabat dengan pelbagai aktiviti.

Annuar berharap, beberapa tarikan di Putrajaya dapat diadakan seperti Perkampungan Quran dan Muzium Realiti Maya, selain beberapa lagi aktiviti yang dirancang untuk menarik kunjungan orang ramai terutama pelancong ke pusat pentadbiran negara itu.

“Kita menggalakkan kalau ada penyertaan pelabur dan pihak swasta yang membawa acara atau mengadakan pembangunan tertentu yang boleh menyokong sektor pelancongan di sini.

“Putrajaya mempunyai segala kemudahan asas dan kita ingin menjadikannya sebagai satu bandar yang hidup dan kita mengekalkan Putrajaya sebagai sebuah bandar ikonik, bersih, hijau serta bandar raya pintar.

“Kita juga merancang untuk membaiki sistem pengangkutan awam di Putrajaya ini untuk melihat kepada pelaksanaan pengangkutan awam yang lebih baik,” katanya seperti dilaporkan BH.

Menurut Annuar, kerajaan bangga dengan pencapaian Perbadanan Putrajaya selama 25 tahun ini, terutama dalam pengurusan wilayah itu.

Katanya, Kertas Jemaah Menteri juga sudah disiapkan, yang menyertakan syor bagi membolehkan cadangan kerjasama dengan swasta dalam memperbanyakkan perumahan awam, juga terbuka kepada orang awam yang mahu mencari rumah dalam satu persekitaran baharu. – Malaysiapost