POLIS menahan seorang lelaki warga asing selepas dipercayai mencabul wanita tempatan berumur 51 tahun di sebuah kondominium di Kota Damansara, Petaling Jaya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, mangsa mendakwa dicabul ketika hendak masuk ke dalam rumahnya di kondominium berkenaan pada jam 8.20 malam, 6 Jun lalu.
Susulan maklumat orang awam, katanya polis menahan suspek berumur 26 tahun itu di hadapan pos pengawal kondominium tersebut pada jam 5.30 petang semalam.
“Suspek yang tidak bekerja dan merupakan penyewa di kondominium sama mengaku terlibat dalam kes cabul yang disiasat.
“Dia turut mengaku terlibat dalam satu kes cubaan samun di hadapan sebuah rumah di kawasan kondominium yang sama,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam kes samun tersebut, Mohamad Fakhruddin berkata mangsa adalah wanita tempatan berumur 26 tahun yang bekerja sebagai juruaudit dan telah membuat laporan polis pada 5 Jun lalu.
“Suspek ditahan reman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan dan Seksyen 393 kanun sama kerana cuba melakukan rompakan.
“Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya sekali,” katanya. – Malaysiapost

