Jangan ganggu urusan pemilihan Naib Canselor 5 universiti – CUEPACS

0
2

CUEPACS berharap pihak luar dan dalam terutama mereka yang mempunyai kepentingan tidak campur tangan dalam soal pemilihan Naib Canselor dilaksanakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui Jawatankuasa Tetap Pemilihan Naib Canselor Universiti Awam.

Presiden CUEPACS, Adnan Mat berkata campur tangan pihak terbabit terutama dalam mencadangkan sendiri nama calon Naib Canselor yang sesuai adalah tidak wajar kerana dikhuatiri mempunyai kepentingan tertentu.

“Cadangan nama-nama tertentu secara terbuka juga boleh mengakibatkan keharmonian bekerja terjejas apabila wujudnya kumpulan yang cuba melobi ketua masing-masing untuk mendapatkan jawatan tersebut.

“CUEPACS percaya proses pemilihan oleh KPT adalah telus dan tepat dalam mencari calon terbaik dan sesuai bagi menggalas kekosongan jawatan Naib Canselor di universiti awam.

“Janganlah ada cubaan untuk mengganggu urusan pemilihan dengan mencadangkan nama-nama yang diingini secara terbuka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Adnan berkata, CUEPACS akan terus bersama KPT dan menghormati setiap keputusan yang dilakukan demi kebaikan perkhidmatan awam di insititusi pengajian tinggi negara.

“CUEPACS percaya KPT dan Akademi Pendidikan Kepimpinan Pendidikan Tinggi yang diwujudkan mampu mengenalpasti dan mengembangkan bakat kepimpinan di institusi dalam kalangan ahli akademik terutama di universiti awam,” katanya.

Semalam, KPT memaklumkan akan mengumumkan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan UPM, dalam masa terdekat.

Kementerian itu berkata, Naib Canselor bagi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) pula masih dalam proses pemilihan oleh Jawatankuasa Tetap Pemilihan Naib Canselor Universiti Awam.

Sebelum itu, Setiausaha Agung CUEPACS, Abdul Rahman Mohd Nordin membangkitkan isu kelewatan KPT melantik Naib Canselor di lima universiti awam yang kosong sejak awal tahun ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here