MUZIK video lagu Hilang, nyanyian kumpulan Umbrella telah mencapai hampir 120,000 tontonan di laman Youtube biarpun baru lima hari dilancarkan.
Kumpulan yang pernah popular ditahun 90-an itu juga mengakui kerja keras mereka selama 10 tahun untuk membuat kemunculan semula membuahkan hasil dengan lagu Hilang.
Menurut vokalis kumpulan itu, Zarul, sambutan memberangsangkan daripada peminat adalah bukti penyanyi era 90an masih mampu mencuri jiwa pendengar generasi baharu.
“Ia membuktikan kemampuan artis lama untuk membuat comeback.
“Saya percaya pertaruhan ini berpotensi mengulangi kejayaan lagu Ramalanku Benar Belaka yang pernah mengangkat nama Umbrella satu ketika dahulu,” katanya seperti dilaporkan mStar hari ini.
Zarul berkata, menjadi cabaran utama apabila kini corak promosi lagu lebih tertumpu menggunakan platform digital.
Oleh itu, Umbrella sebagai kumpulan yang telah bertapak sejak tahun 90an berusaha untuk mengikut aliran semasa industri muzik tanah air.
“Kita sedar cara promosi kini sudah berbeza ketika zaman kami dahulu. Artis-artis baharu kini lebih bijak menggunakan platform media sosial untuk mempromosikan lagu-lagu mereka.
“Ia cabaran utama bagi kami untuk bersaing ketika ini dan sejujurnya tidak mungkin dapat menandingi mereka yang lebih berpengaruh di media sosial,” ujarnya.
Kumpulan Umbrella terdiri daripada Zarul selaku vokalis, Hafizz, Rizal dan Saiful.
Tambah Zarul lagi, alunan melodi dan susunan muzik yang menggabungkan elemen 90an mampu menarik jiwa pendengar bukan sahaja di Malaysia, malah Singapura, Brunei dan Indonesia.
Selain itu, muzik video yang menampilkan konsep seperti era 90an juga membariskan pelakon baharu Natasha Elyzza dan pengacara Zulin Aziz. – Malaysiapost

