Tular lori mengundur: Dua lelaki ditahan

0
3

POLIS menahan dua pemandu lori berhubung kemalangan di Jalan Rawang menghala ke Batu Arang dekat Rawang semalam.

Kejadian itu tular di media sosial semalam menunjukkan sebuah lori seakan-akan dipandu secara mengundur dalam keadaan berbahaya serta mengakibatkan kemalangan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kedua-dua lelaki yang ditahan  berusia 63 dan 46 tahun.

Katanya, dalam kejadian pada jam 2.20 petang itu, sebuah lori didapati mengalami kerosakan pam minyak menyebabkan enjin terhenti secara tiba-tiba.

“Pemandu lori itu kemudian meminta bantuan rakannya yang juga pemandu lori lain untuk menarik kenderaan rosak itu menggunakan kabel,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Arifai berkata, apabila tiba di lokasi kejadian, stereng dan brek lori yang rosak itu tidak berfungsi pula akibat masalah teknikal sehingga ia hilang kawalan dan bergerak ke kiri serta ke kanan.

“Lori yang rosak itu kemudian melanggar sebuah kereta yang berada di laluan bertentangan,” katanya.-Malaysiapost