Muhammad Mustakim Ramli
KEMENANGAN calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim membuktikan keyakinan rakyat terhadap BN dan dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri berkata, kemenangan itu juga membuktikan kerjasama Bersatu, Umno dan PAS dalam Muafakat Nasional mampu mewujudkan kesepakatan yang jitu untuk meraih sokongan padu pengundi.
“Saya mengucapkan tahniah kepada calon BN, Mohd Zaidi Aziz yang memenangi PRK DUN Slim dengan majorii besar.
“Saya juga berharap YB Zaidi akan dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab kepada rakyat dengan cemerlang,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Perdana Menteri juga mengucapkan tahniah kepada seluruh jentera pilihanraya yang membantu kemenangan calon BN.
Keputusan PRK DUN Slim semalam menyaksikan calon BN, Mohd Zaidi meraih 13,060 undi daripada keseluruhan 15,451 pemilih berdaftar yang keluar mengundi di kerusi DUN itu semalam.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan calon BN itu memenanginya dengan memperoleh majoriti 10,945.
Manakala calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, beroleh 2,115 undi dan seorang lagi calon Bebas, Santhara Sekaran Subramaniam, 42 hanya mendapat 276 undi.
PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya, Mohd Khusairi Abdul talib, 60, pada 15 Julai lalu di Hospital Bentong akibat serangan jantung.
Pada PRU ke-14 lalu, Mohd Khusairi menang dengan majoriti 2,183 undi selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan calon Bersatu, Mohd Amran Ibrahim, dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal. – Malaysiapost

