KERAJAAN tidak menetapkan atau mengawal harga minyak masak botol kerana ia bukan minyak masak yang bersubsidi.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam kenyataan, berkata kerajaan hanya menetapkan harga minyak masak sawit bersubsidi yang dijual dalam pek polibeg 1 kilogram (kg) iaitu RM2.50.
“Harga minyak sawit mentah ditentukan oleh pasaran dunia, ada turun dan ada masanya naik. Pada masa ini harga di pasaran dunia sudah mencecah lebih RM4,300 metrik tan (berbanding sebelum ini hanya sekitar RM2500 metrik tan sahaja), bersamaan lebih kurang RM4.30 per kg sebelum diproses dan dibotolkan.
“Ini bermakna kos minyak sawit mentah sahaja sebelum dibotolkan sudah melebihi RM21 untuk 5 kg. Itu tidak termasuk kos-kos lain seperti pembotolan, pengangkutan dan keuntungan di peringkat kilang, pemborong, pengedar dan peruncit,” kata kenyataan itu.
KPDNHEP berkata, kualiti minyak sawit bersubsidi dalam pek polibeg 1kg adalah sama dengan minyak sawit dalam botol dan sejak dulu lagi kerajaan memperuntukkan berjuta ringgit untuk minyak masak bersubsidi.
“Untuk 2021 sahaja, sekitar 60,000 tan metrik setiap bulan diperuntukkkan bagi kegunaan rakyat Malaysia. Itu bersamaan dengan 60 juta polibeg 1kg sebulan atau 1.8 kg minyak sawit untuk setiap rakyat Malaysia setiap bulan.
“Pengguna minyak masak di Malaysia mempunya pelbagai pilihan. Terpulang citarasa dan bajet masing-masing dalam memilih jenis minyak masak, yang penting utamakan kualiti dan nilai,” kata kenyataan itu lagi.
Pada masa sama, KPDNHEP menasihatkan pengguna melawat aplikasi Price Catcher untuk mengetahui dan membanding harga Minyak Masak Tidak Bersubsidi di premis perniagaan berdekatan dengan rumah anda.
Sejak dua hari lalu, terdapat rungutan pengguna mendakwa harga minyak sawit 5 kg naik di antara RM30 hingga RM32.70 sebotol berbanding RM25.90 hingga RM28 sebelum ini.
Sehubungan itu, pengguna mendesak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna turut memantau harga minyak masak botol, bukan hanya minyak masak paket satu kg. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/06/07/kenaikan-harga-minyak-sawit-beri-pulangan-kepada-3-juta-pekebun/

