Vaksin Covid-19: Sarawak guna kaedah suntik dahulu, kemudian daftar

0
2
Petugas mencucuk vaksin AstraZaneca kepada seorang penerima vaksin di PWTC.

SARAWAK akan menggunakan kaedah hibrid yang melibatkan pendaftaran secara manual selepas pemberian vaksin terutama masyarakat luar bandar.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, berkata pendekatan baharu itu untuk memastikan rakyat di negeri berkenaan tidak tercicir daripada mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Beliau berkata, selain pendaftaran menerusi aplikasi MySejahtera, Sarawak akan menggunakan kaedah hibrid berkenaan untuk kelompok sasar.

“Untuk kawasan luar bandar, jika nama tidak ada dalam pendaftaran, tetapi mereka sudah datang untuk vaksin, mereka boleh divaksin selepas itu barulah pendaftaran dibuat.

“Kita mahu semua rakyat mendapat vaksin, selain itu memudahkan mereka yang datang dari jauh untuk tidak berulang-alik secara tidak langsung memudahkan urusan mereka.

“Ia sekali gus akan memastikan proses vaksinasi dapat dilaksanakan dengan cepat dan berkesan khususnya di luar bandar,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Mengulas lanjut, kata Abang Johari perkara itu telah dimaklumkan kepada semua wakil rakyat untuk membantu dalam usaha mencapai sasaran imuniti kelompok menjelang Ogos depan.

Mengulas mengenai program vaksinasi AstraZeneca di Sarawak, beliau mendedahkan seramai 1,400 orang menerima vaksin pada hari pertama yang dijalankan di BCCK dan PKBN Miri.

“Setakat ini kita berpuas hati dengan pelaksanaan proses vaksinasi di BCCK, hari ini di sini (BCCK) melibatkan 1,000 penerima dan 400 di Miri.

“Jumlah ini akan ditingkatkan kepada 3,000 sehari selepas ini bagi mempercepatkan program imunisasi di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, seramai 30,000 orang telah mendaftar untuk menerima vaksin AstraZeneca di negeri ini.

Abang Johari berkata, keupayaan Sarawak untuk memperluaskan program itu akan diperkuatkan lagi dengan ketibaan lebih 469,000 vaksin jenis Sinovac dan Pfizer dalam tempoh dua hari akan datang.

“Vaksin (Sinovac dan Pfizer) akan datang pada 9 Jun sebanyak 380,000 dos seperti yang dimaklumkan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin yang akan kita hantar ke Miri dan 89,360 dos lagi akan datang pada 10 Jun ini.

“Dengan sasaran satu juta dos pada Jun seterusnya pada Julai dan Ogos,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here