Kes sporadik semakin membimbangkan, boleh terjangkit wabak di mana sahaja

0
3

JANGKITAN Covid-19 membabitkan kes sporadik yang tidak diketahui punca penularannya semakin menular di kalangan komuniti yang memerlukan orang ramai meningkatkan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata majoriti daripada kes dan kematian Covid-19 yang dikesan meningkat mendadak sehingga melepasi 9,000 kes sehari sejak minggu epidemiologi (ME) ke-13 pada 1 April lalu adalah kes sporadik.

Katanya, 52 peratus daripada 8,968 kes direkodkan pada 3 April adalah kes sporadik dan jumlahnya meningkat pada ME ke-19 yang mencatatkan 77.7 peratus daripada 29,386 kes positif.

“Negara kemudiannya merekodkan kes kumulatif mingguan tertinggi setakat ini pada ME ke-21, iaitu sebanyak 53,419 kes di mana 85.1 peratus adalah merupakan kes sporadik.

“Tren kes-kes sporadik kekal tinggi pada ME ke-22 (sehingga 5 Jun 2021), dengan jumlah kes baharu COVID-19 yang dilaporkan adalah sebanyak 52,040 kes (84.3 peratus adalah kes sporadik),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dr Noor Hisham berkata berlaku juga peningkatan kematian akibat Covid-19 membabitkan kes sporadik dalam tempoh sama di mana pada ME-13, 26 daripada 35 kes kematian adalah kes sporadik.

“Pada ME ke-19 sebanyak 209 kematian dengan 187 kes sporadik. Jumlah ini melonjak dan pada ME ke-22 iaitu sebanyak 641 kes kematian Covid-19 (559 kes sporadik) yang lebih tinggi berbanding kematian daripada kluster.

“Salah satu faktor menyumbang kepada situasi tersebut adalah kemunculan varian-varian baharu dalam komuniti dengan kadar kebolehjangkitan dan kematian lebih tinggi selain penularan Covid-19 secara lebih meluas dalam komuniti berbanding ME yang sebelumnya,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham menasihatkan orang ramai sentiasa mengawasi persekitaran dan memahami sesiapa sahaj boleh dijangkiti wabak itu tidak kira di mana mereka berada seperti berlaku masa kini.

“KKM ingin menyeru masyarakat untuk terus konsisten dalam mematuhi sepenuhnya SOP. Lindungilah diri, keluarga, dan komuniti dalam memerangi pandemik ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here