Ahmad Maslan: Guna notis 14 hari untuk percepat sidang Parlimen

0
2
ahmad maslan

DATUK Seri Ahmad Maslan mencadangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggunakan notis 14 hari bagi membolehkan Parlimen secara hibrid yang dicadangkan kerajaan dapat dilaksanakan segera.

Setiausaha Agung UMNO itu berkata penularan Covid-19 yang semakin membimbangkan masa kini menuntut sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara secara bersemuka serta maya berkenaan diadakan segera.

Ahli Parlimen Pontian itu menegaskan Parlimen tidak seharusnya dimandulkan dan pembukaannya bukan bertujuan hendak bergaduh, sebaliknya medium bertukar-tukar hujah, fikiran dan pandangan dari segi ekonomi, pendidikan serta sosial.

“Akhirnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dengar juga pandangan ahli Parlimen yang mahukan Parlimen dibuka.

“Banyak maklumat di peringkat akar umbi ketika ini yang boleh dikongsi bersama untuk pengetahuan kerajaan. Sebenarnya ini juga adalah suara rakyat yang mahu sidang Parlimen diadakan segera,” katanya dipetik Utusan Malaysia, hari ini.

Ahmad berkata, langkah tersebut diambil bagi memastikan Parlimen berupaya berperanan seperti sewajarnya, walaupun negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19 dan program pemulihan yang giat berjalan di semua peringkat.

Jumaat lalu, Takiyuddin dilaporkan berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan konsep dan mekanisme ke arah pembukaan semula Parlimen secara hibrid yang membabitkan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Pada Mac, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon dilaporkan berkata, Perdana Menteri perlu memberikan notis sekurang-kurangnya 28 hari sebelum sidang Parlimen boleh dilaksanakan.

Menurutnya, Parlimen tidak mempunyai kuasa mengadakan persidangan dengan sewenang-wenangnya, sebaliknya ia memerlukan notis daripada Ketua Majlis (Perdana Menteri). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here