‘Menggigil’ lihat harga minyak masak botol naik

0
2

KERAJAAN diminta memantau peningkatan harga minyak masak botol 5 kilogram (kg) yang dibimbangi akan menjejaskan pengguna dan peniaga.

Memetik laporan Harian Metro yang melakukan tinjauan di beberapa pasar raya dan kedai serbaneka di Larkin serta Tampoi, Johor Bahru, Johor, pengguna mengadu harganya kini di antara RM30 hingga RM32.70 sebotol berbanding RM25.90 hingga RM28 sebelum ini.

Sehubungan itu, pengguna mendesak sudah tiba masanya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna turut memantau harga minyak masak botol, bukan hanya minyak masak paket satu kg.

Seorang penyelia Anuar Ariffin, 44, berkata dia terkejut dengan kenaikan di antara RM4 hingga RM7 berbanding bulan lalu yang menjejaskan pengguna mempunyai ahli keluarga ramai sepertinya.

“Keluarga saya besar dengan empat orang anak, takkan saya perlu beli minyak masak paket RM2.50 setiap minggu untuk kegunaan keluarga, sedangkan sekarang perintah Sekatan Pergerakan Penuh (SPP).

“Pengguna seperti saya sangat terbeban, pendapatan pun tidak stabil lagi. Adakah pihak berkuasa akan terus melihat sahaja sehingga minyak masak botol melepasi harga RM40 sebotol pula selepas ini,” katanya.

Bagi seorang lagi pengguna, Zura Mohd, 33, peningkatan harga minyak masak itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada perbelanjaan bulanan keluarganya terutama anaknya kini sering berada di rumah kerana penutupan sekolah. 

“Saya beli minyak masak botol lima kg sebulan sekali dan apabila lihat harganya dah melepasi RM30 memang ‘menggigil’ jugalah.

“Dulu anak sekolah makan dua kali sehari sahaja, namun apabila sekolah ditutup saya sediakan makanan sehingga empat kali sehari dan ia jadi sangat membebankan kepada keluarga besar,” katanya.

Zura meminta kerajaan supaya mendengar suara pengguna yang juga mahukan harga minyak masak botol dikawal kerana mempunyai permintaan tinggi atas faktor keperluan keluarga besar.-Malaysiapost

Gambar sekadar hiasan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here