SPR terima pemaklumkan tamat tempoh DUN Sarawak hari ini

0
2
sarawak

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) telah menerima pemakluman rasmi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar hari ini, berhubung tamat tempoh DUN Sarawak ke-18.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata namun begitu, di bawah Seksyen 15 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, bagi tempoh darurat berkuat kuasa peruntukan untuk memanggil, memprorog dan membubarkan DUN Sarawak tidak mempunyai kesan.

Ini kerana, katanya, ia akan ditetapkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Manakala katanya, Seksyen 13 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 juga memperuntukkan pilihan raya DUN bagi tempoh darurat berkuat kuasa tidak mempunyai kesan dan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak hendaklah diadakan pada tarikh difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Yang di-Pertua Negeri.

“Oleh yang demikian, memandangkan Proklamasi Darurat yang dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong pada 11 Januari 2021 [P.U.(A) 7/2021] dan peruntukan Seksyen
13 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 berkaitan Pilihan Raya DUN yang sedang berkuat kuasa, maka PRN Sarawak ditangguhkan,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu Asfia dilaporkan berkata, tempoh DUN Sarawak yang matang hari ini dilanjutkan sehingga proklamasi darurat tamat pada 1 Ogos depan.

Menerusi kenyataan, Asfia berkata notis lanjutan itu telah dihantar kepada Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh menerusi emel hari ini.

DUN Sarawak sepatutnya dibubarkan hari ini berdasarkan mesyuarat pertama pada 7 Jun 2016 yang diadakan selepas PRN Ke-11.

Penggantungan mengenai pembubaran dan PRN akan terus kekal selagi mana pengisytiharan darurat berkuat kuasa.

Bagaimanapun, jelas Asfia kedua-dua itu juga memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytihar pembubaran DUN bagi sesuatu negeri termasuk Sarawak dan juga tarikh pilihan raya, jika pada pendapat baginda adalah sesuai bagi DUN tersebut dibubarkan dan pilihan raya diadakan dalam tempoh darurat. – Malaysiapost

Foto Kredit: The Borneo Post

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here