TAN Cheng Hoe tampil mempertahankan percaturannya mengekalkan penyerang neutralisasi, Guilherme de Paula sepanjang 90 minit permainan ketika menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Zabeel, Dubai, awal pagi tadi.
Menurut pengendali Harimau Malaya itu, beliau percaya kelebihan fizikal De Paula mampu membawa tuah kepada pasukan dalam usaha mencari gol penyamaan pada babak kedua perlawanan.
Malaysia ketinggalan satu gol kepada tuan rumah pada separuh masa pertama apabila Ali Makhbout mudah menyempurnakan hantaran jauh rakam sepasukan menewaskan Farizal Marlias pada minit ke-19.
“Mungkin kita percaya dengan dari segi fizikal De Paula dan kita tahu dia mempunyai penyudah yang baik dan sebab itu kita perlu fikir positif.
“Kerana kita mungkin waktu itu ketinggalan 1-0 dan mungkin kita boleh dapat gol penyamaan melalui De Paula. Sebab itu kita kekal dia dalam sepanjang perlawanan semalam,” kata Cheng Hoe pada sesi media secara maya, hari ini.
Aksi hambar De Paula, 35, telah menerima kecaman hebat peminat bola sepak negara terutamanya di laman sosial.
Malah, ramai yang mempertikaikan tindakan Cheng Hoe yang masih mengharapkan penyerang baharu Johor Darul Takzim (JDT) itu meskipun berpeluang menukar pemain itu dengan pemain lain di bangku simpanan.
Skuad negara yang diperkuatkan tiga pemain naturalisasi serta tiga tonggak warisan mempamerkan permainan tidak bermaya dan gagal memberi tentangan hebat apabila tunduk layu 0-4 menerusi dua jaringan Ali Makhbout dan dua lagi oleh penyerang naturalisasi dari Brazil, Fabio Lima.
Dalam pada itu, Cheng Hoe akui pasukan negara beraksi di bawah tahap sebenar dan gagal memberi cabaran bermakna ke atas pemain tuan rumah yang mendapat sentuhan bekas jurulatih Belanda, Bert van Marwijk.
“Saya percaya pemain sudah berikan yang terbaik dan sepenuh komitmen dalam aksi ini, tapi masih tak cukup baik untuk raih keputusan yang positif.
“Kami perlu bermain lebih konsisten selepas ini, di mana pertahanan dan bahagian serangan kami hilang fokus terutama kami gagal mengekang pemain nombor 7 (Ali Makhbout) yang bermain baik. Kami kena bangkit semula,” kata Cheng Hoe. – Malaysiapost

