Pemuda Umno terus desak kerajaan laksana moratorium automatik

0
3

PEMUDA Umno terus menggesa kerajaan memanfaatkan sepenuhnya kuasa di bawah Ordinan Darurat untuk memastikan institusi perbankan menawarkan moratorium 2.0 tanpa caj atau faedah tambahan selama tiga bulan secara automatik.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pihaknya turut mencadangkan tujuh rasional dan justifikasi ekonomi kewajaran pemberian moratorium 2.0 berkenaan.

Beliau berkata, perkara itu bertujuan meringankan beban rakyat sekali gus menjamin ketenangan dan kesihatan mental mereka sepanjang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pertama, ia memastikan keupayaan tunai rakyat tidak terjejas akibat pelaksanaan ‘total lockdown’ sehingga menyebabkan ekonomi negara terjejas teruk akibat penurunan drastik perbelanjaan isi rumah terutama pembiayaan keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal dan utiliti.

“Ramai yang berhadapan dengan masalah tunai akibat simpanan yang merosot teruk berbanding PKP 1.0 dahulu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, penangguhan bayaran ansuran pinjaman bank juga dapat mengelakkan muflis akibat kejatuhan teruk pendapatan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS), golongan bekerja sendiri dan isi rumah yang tiada pendapatan tetap termasuk golongan M40.

Beliau berkata, selain itu fenomena muflis dalam kalangan rakyat akibat pendapatan yang terjejas dan ketidakupayaan membayar ansuran pinjaman atau pembiayaan bank akan menyebabkan kerosakan teruk kepada ekonomi negara.

“Malah, keadaan itu sekali gus memberi kesan langsung terhadap operasi dan tahap kestabilan institusi perbankan dan kewangan tempatan.

“Penawaran moratorium mampu menjamin kestabilan sistem kewangan sekaligus mengelakkan bank-bank berhadapan dengan fonomena ketidakupayaan pelanggan membayar balik hingga membawa kepada peningkatan kadar pinjaman tak berbayar,” katanya.

Asyraf berkata, keupayaan institusi perbankan tempatan menyerap sebarang potensi kejutan pasaran masih berada pada tahap yang kukuh sebagaimana piawai antarabangsa dan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Selain itu, tahap kecairan bank tempatan juga berada dalam keadaan yang sihat berdasarkan laporan Tahap Liputan Kecairan BNM bagi sistem perbankan negara iaitu pada 145.1 peratus dan melebihi keperluan minimum 100 peratus walaupun melaksanakan moratorium 1.0 ketika PKP 1.0,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, pelaksanaan moratorium 1.0 yang terdahulu juga ternyata tidak menjejaskan keupayaan institusi perbankan menjana keuntungan.

“Bank-bank tempatan baru mengumumkan keuntungan selesa bagi Suku Pertama Tahun 2021 seperti Maybank (RM2.39 bilion), Public Bank (RM1.53 bilion), Hong Leong Bank (RM2.17 bilion), RHB Bank (RM650.39 juta), Bank Islam (RM202.46 juta) dan Affin Bank (RM68.94 juta),” katanya.

Sebelum ini, Asyraf Wajdi meminta kerajaan memanfaatkan sepenuhnya kuasa yang ada untuk mengarahkan pihak bank menawarkan moratorium secara automatik kepada rakyat tanpa caj atau faedah tambahan selama tiga bulan dan tidak terhad kepada hanya golongan B40.

Katanya, kerajaan mempunyai tiga punca kuasa utama untuk mengarahkan pihak bank melaksanakan moratorium secara automatik.

Menurutnya, kerajaan boleh menggunakan Seksyen 72 dalam Akta Bank Negara Malaysia 2009 (Akta 701) yang secara jelas memberikan peruntukan kuasa kepada Jemaah Menteri (Kerajaan) untuk membatalkan sebarang keputusan dibuat Bank Negara Malaysia (BNM), manakala BNM sebagai pelaksana dasar perlu patuh kepada sebarang arahan Menteri bertanggungjawab. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/06/02/kerajaan-ada-3-punca-kuasa-arah-bank-beri-moratorium-asyraf-wajdi/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here