1.12 juta lengkap suntik dua dos vaksin

0
3
Orang ramai duduk menunggu giliran untuk mengambil vaksin AstraZaneca di PWTC.

SERAMAI 1,122,420 individu di negara ini telah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 setakat semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata, angka itu sekali gus menyaksikan peningkatan sebanyak 7,736 orang berbanding 1,114,684 pada Selasa lalu.

“Selain itu, seramai 2,208,016 individu telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini berjumlah 3,330,436,” katanya di Twitter.

Selangor merupakan negeri yang merekodkan dos lengkap tertinggi iaitu 145,636, diikuti Sarawak (116,399), Perak (105,302), Kuala Lumpur (101,249) dan Johor (97,983).

Mengikut perancangan, fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bermula April lepas hingga Ogos ini akan membabitkan pemvaksinan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya.

Fasa ketiga akan bermula pada bulan ini hingga Februari 2022, melibatkan individu berusia 18 tahun ke atas, warganegara dan bukan warganegara, dengan sasaran sekurang-kurangnya 13.7 juta orang.

Pada fasa pertama program yang berlangsung dari Februari hingga April lepas, sekitar 500,000 petugas barisan hadapan termasuk warga kesihatan menerima vaksin itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here