Nurul Huda Abhar
KERAJAAN bersetuju membekalkan dos vaksin Covid-19 kepada Pulau Pinang lebih cepat agar ramai pekerja industri boleh divaksinasi dengan segera.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Pulau Pinang sebagai salah sebuah hab perindustrian penting negara oleh itu proses vaksinasi di negeri tersebut perlu dilaksanakan lebih cepat.
Beliau berkata, ia bagi mengelakkan pertambahan kluster baharu jangkitan Covid-19 di sektor perkilangan dan tempat kerja.
Dalam kunjungan ke Pulau Pinang semalam, Khairy telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri, YAB Chow Kon Yeow mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) peringkat negeri.
“Sebagai salah sebuah hab perindustrian penting negara, Ketua Menteri meminta agar program vaksinasi di negeri Pulau Mutiara ini dipercepatkan kerana beberapa sektor ekonomi penting kini tetap dibuka,” katanya dalam hantaran Facebook.
Semalam, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata, 128,150 syarikat yang melibatkan 1.57 juta pekerja di seluruh negara yang berdaftar dengan Intelligent Management System (CIMS) telah diberikan surat kebenaran operasi.
Katanya, setakat 7.30 pagi semalam, jumlah itu adalah berdasarkan keseluruhan permohonan 586,308 syarikat dengan 10.2 juta pekerja yang berdaftar dengan CIMS.
Pada hantaran sama, Khairy Jamaluddin memberitahu juga berkesempatan meninjau persediaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) SPICE Arena di negeri itu.
Tambahnya, PPV SPICE Arena adalah PPV mega pertama di Pulau Pinang yang boleh menampung sehingga 3,000 penerima sehari, bagi pemberian vaksin AstraZeneca bermula 7 Jun.
Khairy Jamaluddin juga membuat kunjungan melihat persiapan Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai satu lagi PPV di Pulau Pinang, dengan keupayaan melaksanakan suntikan vaksinasi secara pandu lalu buat para penerima. – Malaysiapost
Foto Kredit: FB/Khairy Jamaluddin

