PKPD: 3 lokaliti Sabah, 1 di Pahang dan Sarawak

0
2
Suasana hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pangsapuri Sri Permai, Sungai Besi ketika tinjauan Malaysiapost hari ini.

Nilam Oshman

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokaliti di Sabah serta masing-masing satu kawasan di Sarawak dan Pahang bermula Sabtu hingga 18 Jun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPD dilaksanakan di Rumah Panjang Sigah Anak Lak, Sungai Baoh Burak, Dalat, Mukah, Sarawak selepas berlaku peningkatan kes positif di lokaliti ini.

“Sebanyak 37 kes telah direkodkan hasil daripada 87 ujian saringan yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kadar positiviti 42.53 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut memaklumkan pelaksanaan PKPD di Kampung Pengaraban, Kudat, Sabah bermula 5 Jun hingga 18 Jun.

Katanya, sehingga kini, KKM telah melakukan 24 ujian saringan dan daripada jumlah itu lapan kes positif direkodkan dengan kadar positiviti sebanyak 33.33 peratus.

Sementara itu, beliau berkata, PKPD turut dilaksanakan di empat lokaliti di Tawau, Sabah.

“Ia melibatkan Taman Milenium; Taman Wawasan; Kawasan Semarak dan Kampung Jawa Kongsi 10.

“Sehingga kini, KKM telah merekodkan 96 kes positif iaitu 16 kes di Taman Milenium, Taman Wawasan (13), Kawasan Semarak (55) dan Kampung Jawa Kongsi 10 (12),” katanya.

Beliau juga memaklumkan PKPD dilaksanakan di Ladang Chin Teck, Muadzam Shah, Rompin, Pahang selepas mendapati berlaku peningkatan kes mendadak dalam masa seminggu iaitu 12 kes positif dikesan hasil daripada 223 ujian disaring.

“Manakala, PKPD di Kampung Sugud, Penampang, Sabah juga selepas KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes yang amat ketara dalam masa yang singkat dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti tersebut.

“Sehingga kini, KKM telah melakukan 29 ujian saringan dan 12 daripadanya disahkan positif Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here