‘Terlalu banyak birokrasi untuk mohon kebenaran operasi’ – keluh peniaga

0
2

Nurul Huda Abhar

KERENAH birokrasi dalam permohonan mendapatkan kebenaran beroperasi dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sepanjang tempoh Sekatan Pergerakan Penuh hanya menyulitkan lagi keadaan, khususnya bagi peniaga dan penjaja kecil.

Yang Dipertua Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Abdullah berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan juga tidak jelas dan hanya meliputi pihak tertentu sahaja.

“Di peringkat bawahan tidak jelas ‘lockdown’ bagaimana yang sedang berjalan. Apa yang keliru bila mana ada sektor ekonomi dibawah MITI.

“Peniaga kecil pula di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC). Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pula ada peranannya. Jadi mana satu sebenarnya kami sebagai penjaja dan peniaga kecil mahu ikut?,” katanya kepada Malaysiapost.

Mohamad berkata, arahan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diumum oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertukar apabila tiba di agensi lain.

Beliau berpendapat, agensi kerajaan seperti MITI tidak boleh menjaga keseluruhan sektor ekonomi kerana setiap sektor mempunyai kementeriannya sendiri.

“Seperti mana yang kita tahu penjaja kecil di bawah PBT. PBT lebih arif uruskan peniaga-peniaga kecil.

“Saya bagi contoh, ada peniaga yang tinggal di luar 10 kilometer radius. Mereka tinggal di Selangor dan membuat perniagaan di Kuala Lumpur. Bila mahu masuk ke Kuala Lumpur, diarahkan berpatah balik kerana tiada surat MITI.

“Sepatutnya beri kuasa kepada PBT atau persatuan untuk keluarkan surat kepada peniaga kecil. Ada yang menjual hasil kampung sahaja, tidak masuk akal perlu juga buat permohonan MITI guna sistem,” ujarnya.

Sementara itu, beliau mengakui mendapat banyak aduan dan keluhan daripada peniaga dan penjaja yang mengalami kerugian disebabkan barang jualan rosak kerana tidak boleh ke tapak niaga kerana tidak surat kebenaran MITI.

Beliau menegaskan pihak atasan harus turun ke lapangan untuk melihat sendiri situasi sebenar yang terpaksa dihadapi peniaga kecil sejak Perintah Kawalan Pergerakn (PKP) dilaksanakan.

“Pihak atas kena faham, penjaja kecil ni pendapatan mereka secara harian. Bukan macam sektor kilang besar. Peniaga memang bersyukur diberi kelonggaran untuk berniaga semasa total lockdown. Tapi bila dirumitkan masalah mereka lebih baik tutup sahaja semua sektor.

“Cubalah fikir, seorang tukang jahit yang menjalankan peniagaan jahit baju kurung, jahit songkok kena mohon surat dari MITI? Sangat mengarut. Ini bukan caranya mahu senangkan rakyat,” ujar beliau.

Mohamad menjelaskan, kerajaan perlu mengambil pendekatan lebih jelas berhubung kebenaran beroperasi untuk semua sektor, dan jangan hanya tertumpu kepada syarikat-syarikat besar sahaja sehingga peniaga kecil terpinggir.

Tambahnya, fokus perlu diberikan untuk semua aspek ketika sekatan pergerakan penuh diadakan bukan sahaja tertumpu dalam lingkungan 10 kilometer radius yang diumumkan sebelum ini.

“Terlalu banyak birokrasi yang boleh menyusahkan orang ramai. Bayangkan peniaga serai ambil di Semenyih mahu berniaga di Kuala Lumpur. Tidak boleh lepas SJR sebab tiada surat MITI. Itu akan merugikan mereka.

“MITI perlu lebih jelas sektor yang sepatutnya berada di bawah peranan mereka,” katanya.

Sebelum ini, MKN mengumumkan surat kebenaran beroperasi sepanjang total lockdown 14 hari perlu dipohon kelulusan melalui kementerian yang berkaitan.

Namun tidak sampai 24 jam, MITI pula mengumumkan semua sektor yang ingin beroperasi mesti mendapat surat kebenaran daripada kementerian itu.

MITI dalam kenyataan semalam berkata, surat kebenaran beroperasi bagi sektor-sektor ekonomi perlu yang dibenarkan kerajaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 1 hingga 14 Jun ini perlu dimohon melalui portal Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 yang diselia kementerian itu.

Sehubungan itu sektor-sektor ekonomi berkenaan boleh mengakses portal CIMS 3.0 untuk mendapat surat kelulusan beroperasi sekiranya belum menerima kelulusan untuk beroperasi, melalui pautan notification.miti.gov.my. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here