PKPD: 15 lagi Lokaliti di Mukim Pekan, Kunak, Sabah

0
2
Suasana hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pangsapuri Sri Permai, Sungai Besi ketika tinjauan Malaysiapost hari ini.

Nilam Oshman

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) diperluaskan melibatkan 15 kawasan lagi di Mukim Pekan, Kunak, Sabah bermula Jumaat hingga 17 Jun ini.

Sementara, pelanjutan PKPD turut dilaksanakan di Sekolah Menengah Ugama (SMU) Pantai Manis, Papar, Sabah bagi tempoh sama.

Manakala, penamatan PKPD di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor serta kawasan Gugusan Mendi Bera, Pahang, esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD dilaksanakan di 15 lokaliti baru dalam Mukim Pekan, Kunak, Sabah kerana peningkatan kes yang amat ketara dalam masa yang singkat.

“Ia melibatkan Bajau Laut – Palauh; Kampung Cina; Kampung Selamat; Kampung Kunak Jaya; Kampung Singgah Mata; Kampung Kunak Kecil; Kampung Bagiang ; Kampung Jaya Baru; Kampung Datuk Haji; Zainal Gunong; Kampung JKR Lama; Kampung Haji Mohd Noor; Kampung Pangkalan Lama; Kampung Pangkalan Laut; Kampung Sungai Atas dan Pekan Kunak.

“Sebanyak 173 kes aktif telah dikesan di lokaliti tersebut dengan kadar positiviti 64 peratus.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di lokaliti seperti yang dinyatakan di Mukim Pekan (kecuali Kampung Kadazan, Kampung Simpang 4, Taman Sri Idaman, PPR Sri Pangkalan dan Bangunan Kedai Simpang 4) dalam daerah Kunak, Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut memaklumkan pelanjuta PKPD SMU Pantai Manis, Papar, Sabah kerana masih berlaku penularan serta kes baharu direkodkan dalam kalangan penghuni di lokaliti tersebut.

Katanya, kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di Sekolah Menengah terbabit yang dijadualkan tamat pada 3 Jun 2021.

“Bagaimanapun, sepanjang tempoh itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan 940 ujian saringan dan 171 daripadanya disahkan positif Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan Penamatan PKPD di UTM, Skudai Johor ditamatkan esok selepas berlaku penurunan kes dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif telah menerima rawatan.

Katanya, Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di universiti itu yang dijadualkan tamat pada 3 Jun 2021.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan 1,346 ujian saringan dan 60 daripadanya disahkan positif Covid-19,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pelaksanaan PKPD di Gugusan Mendi, Bera, Pahang turut ditamatkan esok, awal daripada yang dijadualkan.

Katanya, kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di lokaliti yang dijadualkan tamat pada 11 Jun 2021.

“Dalam tempoh itu, KKM telah melakukan 505 ujian saringan dan 33 daripadanya disahkan positif Covid-19.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Gugusan Mendi, Bera, Pahang pada 2 Jun 2021, lebih awal daripada yang dijadualkan,” katanya. -Malaysiapost.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here