PKPD: 13 lokaliti di Pulau Pinang, 3 kawasan di Sabah, 4 Taman di Pahang

0
2
Suasana hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pangsapuri Sri Permai, Sungai Besi ketika tinjauan Malaysiapost hari ini.

Nilam Oshman

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 13 lokaliti sekitar Pekan Bayan Lepas, Pulau Pinang, tiga kawasan di Sabah dan satu daerah di Pahang bermula Jumaat hingga 17 Jun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPD dilaksanakan di 13 lokaliti sekitar Pekan Bayan Lepas, Barat Daya, Pulau Pinang kerana berlaku peningkatan kes.

“Kawasan terlibat adalah Sri Bayu; Bayu Tiara; Bayu Nyaman; Halaman Murni; Bayan Permai; Bayan Tiara; Taman Ara Indah; Kampung Bukit; Kampung Perlis; Kampung Masjid; Jalan Mahkamah; Jalan Kampung Pak Lah dan Lebuh Kampung Bukit.

“Sebanyak 83 kes baharu dikesan dalam masa dua minggu dengan keseluruhan yang direkodkan setakat ini ialah 250 kes.

“Ujian saringan yang dilakukan ke atas kontak rapat juga menunjukkan kadar positiviti 19.6 peratus manakala saringan komuniti pula 10.7 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, PKPD turut dilaksanakan di Lorong Taman Utama 5, 6, 7 dan 8, Taman Utama, Sandakan, Sabah kerana berlaku peningkatan ketara dalam tempoh singkat apabila sembilan sembilan kes positif direkodkan hasil daripada 13 saringan dengan kadar positiviti 69.2 peratus.

Ismail Sabri turut memaklumkan pelaksanaan PKPD di Kampung Sepagaya Hulu, Silam, Lahad Datu, Sabah bermula 4 Jun hingga 17 Jun ini.

“Sebanyak 19 kes direkodkan hasil daripada 35 ujian saringan dilakukan dengan kadar positiviti 54.3 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, PKPD juga dikenakan di dua lokaliti dalam daerah Kota Kinabalu, Sabah iaitu melibatkan Rumah Murah Kepayan dan Kampung Tanjung Aru Baru.

“Sebanyak 24 kes positif telah direkodkan masing-masing 16 di Rumah Murah Kepayan manakala lapan kes lagi di Kampung Tanjung Aru Baru.

“Selain itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati kedua-dua lokaliti tersebut mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi dan boleh mendatangkan risiko penularan kes Covid-19,” katanya.

Beliau juga memaklumkan pelaksanaan PKPD di empat taman perumahan, Mukim Bentong, Bentong, Pahang melibatkan Taman Bentong Makmur; Taman Harmoni; Taman Kolej dan Taman Desa Damai.

“Sebanyak 19 kes telah dikesan iaitu tujuh di Taman Bentong Makmur, Taman Harmoni (5 kes), Taman Kolej (3 kes) dan Taman Desa Damai (4 kes) selepas KKM melakukan 126 ujian saringan ke atas penduduk keempat-empat taman perumahan tersebut.

“KKM juga mendapati berlaku peningkatan ketara kes sporadik dalam tempoh dua minggu manakala kadar positiviti direkodkan ialah 7 peratus,” katanya. – Malaysiapost.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here