Kerajaan ada 3 punca kuasa arah bank beri moratorium – Asyraf Wajdi

0
2

KERAJAAN diminta memanfaatkan sepenuhnya kuasa yang ada untuk mengarahkan pihak bank menawarkan moratorium secara automatik kepada rakyat tanpa caj atau faedah tambahan selama tiga bulan dan tidak terhad kepada hanya golongan B40.

Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata kerajaan mempunyai tiga punca kuasa utama untuk mengarahkan pihak bank melaksanakan moratorium secara automatik.

Menurutnya, kerajaan boleh menggunakan Seksyen 72 dalam Akta Bank Negara Malaysia 2009 (Akta 701) yang secara jelas memberikan peruntukan kuasa kepada Jemaah Menteri (Kerajaan) untuk membatalkan sebarang keputusan dibuat Bank Negara Malaysia (BNM), manakala BNM sebagai pelaksana dasar perlu patuh kepada sebarang arahan Menteri bertanggungjawab.

“Melalui Seksyen 6 dan 7 dalam Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) pula memberikan peruntukan kuasa yang jelas untuk Menteri Kewangan mengarahkan BNM berkenaan dasar-dasar yang berkaitan dalam kewangan dan perbankan.

“Manakala, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 juga memberikan kerajaan kuasa penuh untuk mengadakan sebarang peraturan baharu mahupun mengatasi (overule) sebarang undang-undang bertulis sedia ada demi mencapai matlamat Proklamasi Darurat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hakikatnya tanpa Ordinan Darurat sekalipun dua undang-undang sedia ada memperuntukkan kuasa Menteri Kewangan yang amat besar hingga boleh mengarahkan mahupun mengatasi sebarang keputusan BNM apatah lagi bank-bank komersil.

Asyraf Wajdi berkata, selain kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang bertulis, kerajaan juga boleh menggunakan kuasa melalui pegangan saham yang dimiliki dalam bank-bank utama melalui Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).

“Contohnya, Tabung Haji (TH), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) memiliki 82 peratus pegangan saham dalam Bank Islam.

“Khazanah Nasional pula memiliki 30 peratus dalam Bank Muamalat. PNB, KWSP dan KWAP memiliki 62 peratus dalam Maybank dan 62.1 peratus CIMB Bank,” katanya.

Justeru, menurutnya Pemuda Umno menyarankan agar kerajaan memanfaatkan sepenuhnya kuasa yang ada untuk mengarahkan bank-bank yang ternyata mencatat keuntungan mencecah berbilion ringgit hanya pada suku pertama 2021 sahaja, untuk menawarkan moratorium secara automatik.

“Pemuda Umno kecewa dengan alasan ‘simplistic’ Menteri Kewangan kononnya kerajaan tidak boleh mengarah bank-bank untuk memberikan moratorium secara automatik kerana kerajaan tidak memiliki bank atau Menteri tiada kuasa mengarahkan bank-bank,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here