Syor dana khas PM RM1 bilion digunakan untuk perangi Covid-19

0
2

AHLI Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil mencadangkan peruntukan khas Perdana Menteri berjumlah RM1 bilion dari Belanjawan 2021 disalurkan Akaun Amanah Bencana Covid-19.

Ahmad Fahmi berkata, beliau menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan satu Ordinan Darurat bagi memperuntuk semula peruntukan khas Perdana Menteri berkenaan ke akaun terbabit.

Beliau berkata, Peruntukan Khas Perdana Menteri berjumlah RM1 bilion itu dari Belanjawan 2021 di bawah tajuk ‘Projek Khas’ (Maksud Pembangunan 6, Butiran 93500, Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2021).

“Jumlah RM1 bilion ini jauh lebih besar berbanding elaun 3 bulan bagi 220 orang Ahli Parlimen (dianggarkan dalam RM16.5 juta), dan akan dapat digunakan segera untuk menangani pandemik ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Fahmi berkata, beliau tertarik dengan pengumuman Perdana Menteri bahawa jemaah menteri dan timbalan menteri menyumbang gaji tiga bulan ke dalam Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19.

“Namun seperti yang dikritik Majlis Presiden Pakatan Harapan malah juga Timbalan Presiden Umno, pengumuman tersebut tidak bermakna elaun Ahli Parlimen dan peruntukan khas Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri juga disalurkan ke dalam akaun tersebut.

“Ini satu perkara yang perlu dijelaskan Perdana Menteri. Kedua, wujud pandangan yang berkata Ahli-Ahli Parlimen termasuk dari kalangan Pembangkang juga patut menyalurkan elaun mereka ke dalam akaun yang sama,” katanya.

Justeru, Ahmad Fahmi berkata, sebagai seorang Ahli Parlimen, beliau bersedia melakukan perkara itu dengan syarat utama Parlimen dibuka sekarang.

Katanya, proses semak imbang yang telah ‘tempang’ sejak Parlimen ‘dibekukan’ enam bulan lalu perlu dihidupkan semula, terutama dalam keadaan krisis pandemik yang berlarutan ini.

“Jika Parlimen bersidang, pelbagai soalan yang bermain di fikiran rakyat akan dapat dijawab dengan segera dan jelas.

“Contohnya, berapa sebenarnya yang telah dibelanja untuk membangunkan laman web pendaftaran AstraZeneca, dan mengapa laman web tersebut gagal pada saat paling kritikal baru-baru ini?,” soalnya.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan sebagai tanda sokongan, barisan jemaah Menteri bersetuju untuk tidak mengambil gaji selama tiga bulan mulai Jun ini.

“Gaji yang tidak diambil ini akan disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana Negara sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here