Orang ramai serbu JPJ Wangsa Maju hingga sesak

0
3

KEJADIAN kesesakan di pagar masuk Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di Wangsa Maju seperti yang tular melalui satu video sejak semalam disahkan berlaku pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah, berkata pihaknya mengesan video yang tular di Facebook menunjukkan orang ramai bersesak-sesak di pintu masuk utama JPJ Wangsa Maju.

Menurutnya, dalam video berkenaan kelihatan orang awam mengerumuni pintu pagar utama Ibu Pejabat JPJ Wangsa Maju sehingga tidak menghiraukan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan.

“Hasil semakan mendapati kejadian berlaku pada 31 Mei 2021 diantara jam lebih kurang 1 tengah hari hingga 2 petang yang berpunca daripada orang ramai berebut untuk memasuki premis JPJ bagi urusan di kaunter yang mana hanya 50 nombor giliran sahaja dibuka pada sesi petang.

“Keadaan ini diburukkan lagi dengan kehadiran orang ramai untuk menjelaskan saman tertunggak yang diberi diskaun sehingga 70 peratus oleh pihak JPJ yang pada asalnya tarikh akhir diskaun adalah pada 11 Jun 2021.

“Disebabkan PKP menyeluruh bermula semalam, orang ramai mengambil kesempatan untuk menyerbu kaunter pembayaran saman pada saat-saat akhir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihak keselamatan JPJ Wangsa Maju telah menghubungi polis untuk bantuan setelah keadaan tidak terkawal, sebelum Pasukan Pemantau SOP PDRM IPD Wangsa Maju hadir di lokasi.

“Setelah melihat kehadiran pihak polis, orang ramai telah bersurai dari lokasi tersebut bagi mengelakkan mereka dikenakan kompaun.

“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi SOP agar penularan rantaian Covid 19 dapat diputuskan,” katanya.

Menurutnya, tindakan tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat yang dengan sengaja melanggar SOP dan tidak menjaga penjarakan sosial boleh menyebabkan penularan wabak Covid 19 dikalangan masyarakat dan tindakan kompaun boleh dikenakan.

“Mana-mana individu atau masyarakat yang terlihat berlakunya pelanggaran SOP bolehlah menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222.

“Selain Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran agar pihak polis dapat mengambil tindakan yang tegas,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here