PKP 3.0: Penjaja kecil hanya perlu tunjuk permit PBT sahaja – KPKT

0
2

PENJAJA kecil dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan hanya menggunakan premit penjaja dikeluarkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan penjaja kecil di kawasan PBT yang mendapat permit penjaja sama ada kekal atau sementara, mereka tidak perlu untuk mendapatkan kelulusan melalui CIMS, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Sebagaimana yang dimaklumkan, PKP 3.0 mulai 1 Jun hingga 14 Jun 2021 telah menetapkan hanya beberapa sektor yang dibenarkan beroperasi dengan kelulusan melalui CIMS, MITI.

“Bagaimanapun, bagi penjaja kecil di kawasan PBT mereka tidak perlu untuk mendapatkan kelulusan melalui CIMS, memadai hanya dengan menunjukkan permit penjaja yang dikeluarkan oleh PBT,” menurut kenyataan itu.

KPKT turut memaklumkan, sekiranya lokasi perniagaan penjaja melibatkan pergerakan merentas daerah, mereka perlu mendapatkan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan mengemukakan bukti permit penjaja oleh PBT berkenaan.

“Kebenaran untuk berniaga ini hanya terpakai untuk penjaja kecil sahaja dan bukan untuk operasi pasar tani, pasar minggu, pasar malam dan pasar tamu.

“Keputusan ini adalah berkuatkuasa serta merta dan terpakai sepanjang tempoh PKP 3.0,” katanya.

Menurutnya, semua penjaja kecil yang telah diberi kebenaran beroperasi dan melakukan pergerakan rentas daerah mestilah mematuhi prosedur iperasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here