Nilam Oshman
PENEMBUSAN terowong tunggal Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), iaitu Terowong Dungun di Terengganu yang merangkumi 871 meter panjang dilakukan enam bulan lebih awal daripada jadual asal.
Kerja-kerja penggalian bagi Terowong berkenaan telah mencapai tahap kemajuan 97.4 peratus sebelum aktiviti penembusan dilakukan, manakala lapisan kekal terowong telah mencapai kemajuan memberangsangkan iaitu 702 meter panjang.

Dengan ketinggian 11.8 meter dan kelebaran 12.9 meter, Terowong Dungun dibina untuk mengelak penebangan terbuka dan memelihara hutan simpan apabila melintasi kawasan Kuala Dungun.

Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata ia hasil daripada kerjasama lebih kurang 100 kakitangan ECRL dari semua peringkat dalam melaksanakan kerja-kerja pembinaan terowong.

Katanya, usaha keras itu telah membawa kepada penembusan terowong tersebut lebih awal dari jadual dengan jangkaan kerja-kerja keseluruhan infrastruktur untuk siap sepenuhnya pada suku kedua tahun 2022.
“Kerja keras warga kerja ECRL termasuk para jurutera, perancang dan pekerja pembinaan di Terowong Dungun harus dipuji kerana kerja-kerja terowong yang telah digali sedalam 98,111 meter padu tanah dan batuan berjaya dilakukan secara selamat dengan pergerakkan tanah yang minima,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menjangkakan bahawa Terowong Dungun siap beberapa bulan lebih awal sekiranya tiada perkara-perkara yang melewatkan proses pembinaan berlaku.
Mengulas lanjut, Mohd Zuki berkata, projek ECRL mempunyai 58 buah terowong dengan panjang dan lanskap yang berbeza untuk dibina di sepanjang seksyen-seksyen jajaran ECRL yang merangkumi 665 km panjang.
Namun, katanya, kerjasama yang padu dan perkongsian pengetahuan antara MRL dan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) akan melancarkan kerja-kerja penggalian terowong dan memastikan prestasi kejuruteraan adalah seperti yang dijadualkan atau lebih awal.
“Kami berasa bangga kerana projek ECRL masih mencapai tahap kemajuan lebih awal dari jadual iaitu 22.62 peratus pada bulan Mei 2021 walaupun dalam keadaan pandemik yang telah mengurangkan waktu bekerja dan tenaga kerja di tapak pembinaan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan CCC-ECRL, Bai Yinzhan yakin kakitangan ECRL dapat melakukan kerja dengan baik walaupun di bawah pelaksaan prosedur operasi standard (SOP) ketat dan mencapai tahap kemajuan amat memberangsangkan dengan memastikan keselamatan di tapak pembinaan dijaga.
“Kakitangan kami telah memberikan usaha yang berterusan terhadap kontraktor-kontraktor tempatan dan rakan kongsi projek Bumiputera bagi memastikan ketersediaan tenaga kerja, bahan-bahan dan jentera-jentera binaan apabila diperlukan.
“Kami berterima kasih terhadap sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh subkontraktor-subkontraktor serta kepada kakitangan Seksyen 4 terhadap dua pencapaian yang amat membanggakan dalam tempoh dua bulan ini,” katanya.
MRL adalah sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.) adalah pemilik projek dan aset ECRL manakala CCC-ECRL merupakan kontraktor EPCC.
Dijangka siap sepenuhnya pada bulan Disember 2026, projek ECRL yang merangkumi rangkaian rel sepanjang 665-km akan merentasi negeri-negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan Lembah Klang di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
ECRL menjimatkan masa perjalanan dan menghubungkan Kota Bharu dengan ITT Gombak dalam masa 4 jam. – Malaysiapost

