Peruntukan RM1 bilion bagi kukuhkan kesihatan awam – PM

0
2

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memaklumkan kerajaan bersetuju untuk menambah peruntukan RM1 bilion bagi meningkatkan kapasiti dan memperkukuhkan kesihatan awam.

Menurutnya, pertambahan peruntukan tersebut adalah komitmen kerajaan memastikan sistem kesihatan tidak akan runtuh dan beroperasi dengan berkesan.

Beliau berkata, langkah yang akan diberi perhatian termasuk kerajaan memperuntukkan RM450 juta bagi meningkatkan kapasiti katil dan peralatan Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi rawatan Covid-19.

“Bukan sahaja di hospital seliaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tetapi juga di Hospital Pengajar Universiti Awam seperti di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta melalui Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Sabah dan Sarawak.

“Selain itu, penyumberan luar juga akan dilaksanakan kepada hospital swasta. Jumlah ini termasuk RM200 juta yang diumumkan oleh Menteri Kewangan pada 22 Mei baru-baru ini,” katanya dalam perutusan khas Bantuan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, malam ini.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga memperuntukkan RM550 juta untuk menampung keperluan perbelanjaan berkaitan Covid-19 pelbagai agensi antaranya pertambahan kos operasi dan pengurusan dalam menangani krisis kesihatan termasuk ubat, re-agen untuk saringan dan lantikan pegawai secara kontrak.

Jelasnya, ia juga termasuk kos pengoperasian Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di MAEPS dan di peringkat negeri.

Sementara itu, Muhyiddin berkata kerajaan akan melanjutkan tempoh perkhidmatan lebih 14,000 pegawai perubatan dan jururawat lantikan kontrak sedia ada sehingga 2022.

“Sebagai tambahan, kerajaan juga akan melantik semula lebih 500 petugas kesihatan yang bersara wajib tahun ini secara kontrak,” ujarnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here