‘Yusuf ditemui sempurna, seperti anak patung’

0
2

“KEJADIAN berlaku sekelip mata,

“SAYA tak sempat cari adik,” kata Umar Khalish Azidie Fadzly, kanak-kanak berusia 10 tahun yang kehilangan adik bongsunya selepas rumah mereka di Kampung Teluk Pelandok di Port Dickson, terbakar semalam.

Dalam kejadian itu, Yusuf Khalish, 3, tidak sempat diselamatkan apabila api marak dengan cepat menyebabkan mangsa terperangkap dan meninggal dunia.

Menurut Umar Khalish, sebelum kejadian dia tidur di ruang tamu bersama seorang lagi adiknya, Arman Khalish, 8, dan hanya menyedari berlaku kebakaran apabila terasa bahang panas, lapor Harian Metro.

Dia kemudian menjerit ‘rumah terbakar’ sekuat hati yang mengejutkan Arman Khalish; ibu mereka, Marlia Junaidi, 36; nenek, Khalsum Bakri, 67; dan datuk, Junaidi Abd Ghani, 63, yang menghidap angin ahmar.

“Apabila sudah keluar, saya lihat Yusuf tiada dengan kami dan ketika itu baru sedar dia masih di dalam rumah.

“Tak dapat nak buat apa-apa kerana api marak dan hanya tunggu bomba sampai,” katanya.

Kanak-kanak itu mengakui pilu dengan pemergian Yusuf Khalish dan akan merindu keletah manja kanak-kanak itu.

Khalsum pula berkata, sebelum kejadian dia dan Marlia berada di dapur menyediakan makanan tengah hari sebelum tersentak apabila mendengar jeritan cucu.

Mereka segera melihat ke ruang tamu dan nampak api sedang marak lalu membawa keluar ahli keluarga yang lain.

“Malangnya arwah tiada bersama dan kami tidak sempat menyelamatkannya,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang, Mohd Kamal Mohd Timar berkata mangsa ditemui sempurna dan kelihatan seperti anak patung apabila ditutupi pakaian di dalam bilik.

“Kawasan bilik itu musnah tetapi mangsa tidak cedera atau melecur. Apabila pemeriksaan dibuat, dia disahkan meninggal dunia,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan mangsa lemas kerana asap.

Jenazah Yusuf Khalish akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Pelandok. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here