SPR harap pengundi berseluar pendek tidak merajuk

0
3

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) tidak pernah menetapkan etika pemakaian bagi setiap pengundi ke pusat pengundian.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, mengikut peraturan pilihan raya, hanya individu yang memakai pakaian parti bertanding saja dilarang, selain pemakaian menjolok mata.

“Mungkin ada sikit salah faham, kalau ikutkan tiada masalah. Boleh (pakai seluar pendek), cuma ada yang tak boleh berpakaian parti, mencolok mata. Seluar pendek masih dibenarkan.

“Kita harap pengundi ini boleh datang semula mengundi, janganlah merajuk,” katanya pada sidang media selepas meninjau pusat daerah mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Aminudin Baki, Slim, hari ini.

Ia berikutan kejadian beberapa orang warga emas dihalang untuk masuk ke pusat pengundian gara-gara memakai seluar pendek.

Situasi tersebut berlaku di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Aminuddin Baki di mana mereka dihalang masuk oleh pihak polis di pintu sekolah itu.

Juga terdapat adegan warga emas menjerit sambil berkata dia sudah mengundi sebanyak sembilan kali selama ini, dan ini kali pertama dia dihalang untuk masuk ke pusat pengundian kerana memakai seluar pendek.

Ada juga warga emas yang mengoyakkan kad pengundi tanda kecewa dan beredar dari pusat pengundian kerana kecewa dengan insiden terbabit.

Seorang ejen sebuah parti yang mahu dikenali sebagai Wee, turut menyatakan rasa kecewa dengan peraturan tersebut kerana lebih 10 pengundi telah pulang tanpa membuat pengundian kerana tidak dibenarkan masuk.- Malaysiapost