26 kluster baharu babit aktiviti ziarah ketika Aidilfitri

0
2

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) memaklumkan terdapat 26 kluster baharu membabitkan 1,019 individu positif Covid-19 akibat aktiviti ziarah ketika Hari Raya Aidilfitri 13 Mei lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia membabitkan kadar positiviti 25.1 peratus dan daripada jumlah itu, dua kematian dilaporkan serta seorang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Beliau berkata, negeri tertinggi yang mencatatkan bilangan sub-kluster perayaan berpunca daripada sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah Sabah dengan tujuh kluster (26.9 peratus), diikuti Kelantan lima kluster (19.2 peratus) dan dua kluster (7.7 peratus) masing-masing di Johor, Melaka, Pahang, Selangor serta Kuala Lumpur.

“Kita jangka jumlah kes dan kluster ini akan bertambah serta mungkin membabitkan lebih banyak negeri dan daerah.

“Meskipun kerajaan menetapkan ziarah raya dan penganjuran majlis perayaan tidak dibenarkan, namun masih ramai tidak endah larangan ini yang mengakibatkan tercetusnya kluster baharu Covid-19 sehingga menyebabkan kematian.

“Melihat situasi itu, KKM menyeru masyarakat mengambil iktibar dan tidak mengulangi perkara sama bagi perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai yang akan disambut tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, peningkatan sub-kluster perayaan itu perlu dijadikan pengajaran supaya tidak terus bertambah.

“Aktiviti merentas daerah, negeri, kunjung-mengunjung atau perhimpunan ketika perayaan tidak sepatutnya berlaku. Sekarang adalah waktu untuk kita bertindak bersama menurunkan jumlah kes dan kematian harian,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, sejak 1 April hingga 28 Mei lalu, pihaknya turut mengesan 20 kluster rentas negeri dengan Melaka mencatatkan jumlah kluster tertinggi setakat ini iaitu lapan, diikuti Terengganu (3), masing-masing dua di Kelantan, Perak dan Pahang.

Jelasnya lagi, kes positif bagi semua kluster ini sebanyak 1,420 kes.

Katanya, kluster rentas negeri ini termasuk yang berpunca daripada kes indeks yang pulang untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri, pulang menziarahi keluarga, menghadiri majlis perkahwinan, majlis hari jadi, pengebumian atau kursus di negeri lain serta menjalankan aktiviti ceramah bebas merentas negeri,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here