Polis sahkan Khairuddin diperiksa di SJR Perasing

0
2

POLIS mengesahkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali diperiksa ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) Perasing di Kemaman, Terengganu pada 16 Mei lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik, berkata siasatan lanjut kini dijalankan termasuk dakwaan dan maklumat tular melibatkan Ahli Parlimen Kuala Nerus itu.

“Beliau ada diperiksa ketika melalui SJR itu pada 16 Mei lalu dan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman sedang melakukan siasatan berhubung kes ini,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Dalam pada itu, beliau berkata, siasatan penuh akan dilakukan termasuk semua mesej berangkai yang ditularkan sejak Rabu bagi merungkai khabar angin dan dakwaan yang tersebar.

Rabu lalu tular maklumat menerusi aplikasi WhatsApp berhubung penahanan Mohd Khairuddin di SJR Perasing.

Ahli Parlimen terbabit didakwa berada dalam kenderaan bersama seorang wanita yang merupakan bekas isteri kepada pelakon Fizo Omar, Mawar Karim.

Kisah mengenai pemimpin PAS yang dikatakan berkahwin dengan seorang wanita berstatus janda itu hangat diperkatakan sejak semalam.

Bagaimanapun, Khairuddin  hari ini, menafikan beliau adalah individu yang ditahan semasa SJR  bersama Mawar.

Khairuddin juga menafikan laporan sebuah portal yang mendakwa sudah berkahwin dengan Mawar dan menyifatkan semua dakwaan itu sebagai satu fitnah terbaharu daripada mereka dengki kepada beliau.

Tahun lalu, tular di media sosial beberapa keping gambar Mawar mengunjungi beberapa lokasi menarik di Terengganu termasuk di jambatan angkat, bot penambang di Kuala Terengganu dan Pantai Rantau Abang di Dungun yang dimuat naik di Instagram miliknya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here