Senjata angin rupanya

0
3

POLIS Selangor menafikan membuat rampasan pelbagai jenis senjata daripada sebuah gudang senjata haram di Shah Alam, seperti video dan gambar yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata pihaknya mengesan beberapa gambar dan video menunjukkan pelbagai jenis senjata yang dirampas polis dan didakwa ia hasil rampasan dari gudang penyimpanan senjata haram.

Menurutnya, hasil penelitian pihak polis mendapati video yang ditularkan adalah semasa sidang media dibuat Polis Selangor pada 30 Julai 2020, sementara gambar rampasan senjata pula adalah rampasan senjata oleh Polis Kedah pada 2014.

“Sidang media pada 30 Julai tahun lalu itu adalah berkaitan kejayaan tangkapan terhadap penjual dan pembeli senjata ‘airsoft’ jenis rifle dan pistol yang telah diubahsuai.

“Perbuatan mengaitkan video sidang media dengan gambar rampasan senjata oleh Polis Kedah dan kemudiannya mendakwa rampasan itu mempunyai kaitan dengan pengganas komunis dan LTTE (The Liberation Tigers of Tamil Elam) adalah perbuatan tidak berasas serta boleh mengakibatkan ketakutan dan menyebabkan ketenteraman awam tergugat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arjunaidi berkata, satu laporan polis sudah dibuat berhubung isu itu dan disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum pemjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, kes juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat kesimpulan sendiri berkaitan sesuatu isu yang ditularkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Justeru, semua pihak diminta untuk tidak membuat sebarang perkongsian atau menyebarkan sesuatu berita dari sumber yang tidak tepat,” katanya.

Terdahulu tular di laman Facebook satu video berdurasi satu minit 52 saat yang menunjukkan sidang media polis berhubung rampasan senjata di Selangor serta beberapa gambar senjata api.

Perkongsian di Facebook berkenaan mendakwa polis mengesan gudang senjata haram di Shah Alam dan berjaya menahan enam samsemg berbangsa Cina dan India.

Hantaran itu turut menyatakan daripada jumlah senjata dan peluru yang dirampas ia kemungkinan rancangan pengganas untuk berperang serta mempersoalkan bagaiaman senjata yang banyak itu diperoleh. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here