‘Itu pandangan peribadi Ku Li’

0
3
PUTRAJAYA 14 NOVEMBER 2017. Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid semasa sidang media selepas Sambutan Hari Integriti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Auditorium Kompleks E, Putrajaya. NSTP/AHMAD IRHAM MOHD NOOR.

Muhammad Mustakim Ramli

CADANGAN Tengku Razaleigh Hamzah supaya semua pemimpin Umno berundur dari Kabinet Pakatan Nasional (PN) susulan cadanga Bersatu untuk membuka sayap baharu kepada bukan Bumiputera adalah bersifat peribadi.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata keputusan parti itu menyertai Muafakat Nasional (MN) dan keputusan Ahli Parlimen Umno menyokong pembentukan Kerajaan PN ditentukan berdasarkan kepada keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

“Apa jua pandangan yang dikeluarkan selepas keputusan MKT Umno dibuat, adalah pandangan peribadi semata-mata.

“Justeru, saya melihat kenyataan yang dibuat oleh Tengku Razaleigh adalah pandangan peribadi beliau.

“Namun, kita tetap menghormati pandangan yang telah dilontarkan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya.

Semalam, Tengku Razaleigh berkata, keputusan Bersatu untuk menerima ahli bukan Melayu menyebabkan parti itu secara sendirinya tidak lagi layak menjadi anggota pakatan orang Melayu Islam yang didukung oleh MN.

Katanya, Umno tidak pernah menjadi anggota kerajaan PN, sebaliknya hanya memberi sokongan dari awal penubuhan kerajaan itu bagi menjaga dan memelihara kestabilan politik negara.

Beliau turut menggesa anggota Kabinet dari Umno berundur secepat mungkin supaya parti itu tidak membuang masa dalam kerajaan.

Sementara itu, Tan Sri Annuar Musa, berkata Umno tidak pernah berhasrat mencampuri urusan parti lain memandangkan sudah dinyatakan dalam piagam MN.

“Itu adalah pendapat seorang individu dan kita harus hormati pendapat itu atas sifat ia sebagai individu. Sudah tentu keputusan yang kita buat berdasarkan keputusan parti.

“Kita tidak campur urusan parti lain. Misalnya PAS mempunyai kelab penyokong bukan Islam dan ia tidak harus jadi masalah kepada Umno,” katanya.- Malaysiapost