Azmeer syukur berjaya pujuk ‘legend’ hijrah ke Alor Setar

0
3

“ALHAMDULILLAH dengan izin Allah saya berjaya pujuk ‘legend’ kita datang ke Alor Setar dan belajar agama di Pusat Pengajian Azmeer Yusof (PPAY),” kata bekas pemain Kedah, Azmeer Yusof.

Azmeer, kini aktif sebagai pendakwah tampil membantu bekas pemain Selangor dan kebangsaan, Azhar Sharif yang hidup daif di hutan simpan di Kampung Kemensah, Hulu Klang di Selangor.

Menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini, Azmeer berkata beliau akan membina sebuah rumah baharu di atas tanah sendiri di hadapan PPAY Tongkang Yard, Alor Setar untuk didiami Azhar.

“Semoga kehadiran legenda kita ini di bumi Kedah diterima semua orang. Semoga lebih ramai lagi yang ‘sedar‘ akan akhirat seperti legenda Azhar Sharif,” katanya.

Sehubungan itu, Azmeer meminta bantuan orang ramai untuk bersama-sama dengannya membina sebuah rumah untuk Azhar yang pernah berbakti untuk negara sejak zaman Allahyarham Mokhtar Dahari.

“Hulurkanlah sumbangan walaupun dengan RM1. Insya-Allah rumah yang diduduki beliau akan digunakan untuk beribadat.

“Sumbangan ini juga bukan untuk orang lain, tapi untuk saham akhirat kita di sana,” katanya lagi.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan ke akaun CIMB Pusat Pengajian Azmeer Yusof (8604202446).

Sebelum ini media melaporkan kehidupan daif Azhar yang hidup menumpang di sebuah rumah usang dalam hutan dan mengakui kadangkala hanya makan ubi kayu untuk meneruskan hidup.

Azhar, 56, antara tonggak utama Selangor pada era 1980-an yang pernah menjulang Piala Malaysia pada 1984 dan 1986.

Dia juga pernah beberapa kali menyarung jersi Harimau Malaya dengan memori paling manis membantu Malaysia menjuarai Pestabola Merdeka pada 1986. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here