Budak lima tahun parah dilanggar ketika melintas

0
2

SEORANG kanak-kanak perempuan parah selepas dilanggar sebuah kenderaan di hadapan rumahnya di Kampung Delek Kanan, Klang, petang Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam kemalangan jam 5.45 petang itu, Nur Kasih Dalisya Kamarul Azwan, 5, dilanggar SUV jenis Perodua Kembara yang dipandu seorang wanita berumur 21 tahun dari arah Kampung Delek ke Sungai Udang.

“Ketika kejadian, wanita terbabit dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumah di kampung sama.

“Mangsa yang pada mulanya berada di tepi jalan, dia tiba-tiba melintas jalan secara melulu.

“Keadaan itu menyebabkan pemandu tidak sempat mengelak lalu terlanggar mangsa kerana jarak yang terlalu dekat walaupun sudah cuba untuk membrek,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, mangsa yang tidak sedarkan diri dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan lanjut.

“Siasatan mendapati mangsa yang beralamat di Sungai Udang mengalami pendarahan pada limpa dan kecederaan usus.

“Mangsa kini dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan pakar,” katanya.

Dalam pada itu, Shamsul Amar mengesahkan pemandu wanita yang bekerja sebagai kerani itu sudah membuat laporan polis berhubung kemalangan berkenaan.

“Siasatan masih diteruskan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Terdahulu, tular satu video di media sosial memaparkan seorang kanak-kanak dilanggar sebuah kenderaan. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here