PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melawat mangsa-mangsa kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Menurutnya, keutamaan kerajaan adalah memastikan kesihatan dan kebajikan individu terlibat dalam kejadian Isnin lalu itu terjamin.
“Alhamdulillah, mereka yang tercedera sudah dirawat dan mangsa yang kritikal diletak di bawah perhatian rapi doktor.
“Seperti yang telah saya tegaskan sejurus selepas kejadian, prioriti kita adalah memastikan kesihatan dan kebajikan mangsa-mangsa terjamin dan terbela, dan siasatan penuh dijalankan secepat mungkin.
“Alhamdulillah, kedua dua perkara ini sudah dilakukan dan sedang berjalan,” katanya dalam hantaran di Facebooknya, malam tadi.
Muhyiddin juga mendoakan agar kesemua mangsa diberi kesembuhan segera dan dapat kembali meneruskan kehidupan seperti biasa.
“Di pihak kerajaan, saya akan pastikan siasatan sepenuhnya dapat dilaksanakan dan langkah-langkah penambahbaikan dapat dibuat bagi menjamin insiden seperti ini tidak berulang,” ujarnya.
Dalam insiden Isnin lalu, sekurang-kurangnya 47 penumpang dilaporkan cedera parah dalam perlanggaran dua tren LRT, masing-masing dari arah Gombak dan Kelana Jaya.
Kedua-dua tren dilaporkan bertembung kira-kira jam 8.45 malam di antara stesen Kampung Baru dan KLCC. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

